Satu lagi buku memoir yang sangat menarik.
Douglas Rogers adalah penulis kulit putih berusia 30-an yang dilahirkan dan dibesarkan di Zimbabwe. Dia adalah seorang jurnalis yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat tetapi ibu bapanya yang juga kelahiran Zimbabwe, masih lagi warga negara Zimbabwe dan masih menetap di sana. Bapanya ada peguam bersara yang mengusahakan sebuah pusat peranginan untuk pengembara (backpacker resort).
Cerita dimulakan dengan penulis yang semasa itu berada di Berlin pada tahun 2000, mendapat berita yang seorang peladang kulit putih telah dibunuh di Zimbabwe. Ia pembunuhan pertama peladang kulit putih semenjak kerajaan Zimbabwe di bawah pemerintahan Presiden Robert Mugabe mengancam untuk merampas kesemua tanah hak milik seramai 4,500 orang peladang kulit putih di Zimbabwe.Pada masa itu kumpulan lelaki bersenjata yang dikatakan bekas tentera peperangan liberasi yang berjaya menuntut kemerdekaan dari pemerintahan kulit putih kira-kira dua puluh tahun sebelum itu, telah membuat berbagai gangguan di ladang-ladang kepunyaan peladang kulit putih. Peladang yang telah dibunuh itu telah dibelasah teruk serta ditembak dari jarak dekat setelah diculik dari ladangnya yang terletak lebih kurang sejam perjalanan dari rumah ibu bapa penulis.
Kejadian ini telah membuatkan penulis memikirkan tentang nasib ibu bapanya dan mula mengikuti perkembangan di negara kelahirannya.
***************
Dari penceritaan penulis ini, saya dapat mengetahui tentang pergolakan Zimbabwe sekitar 2000-2010 serta serba-sedikit sejarah negara tersebut; ladang-ladang kepunyaan kulit putih telah dirampas dan peladang telah disiksa atau dibunuh. Ladang-ladang itu kemudiannya diberikan kepada pembesar atau ahli politik di kalangan kulit hitam atau rakyat kulit hitam yang memohon. Perkara ini telah mempengaruhi ekonomi Zimbabwe kerana ladang-ladang yang selama itu menghasilkan produk ekspot telah dirosakkan dan peladang-peladang "baru" dari kalangan kulit hitam pula kebanyakannya tidak tahu berladang atau tidak berminat untuk menguruskan ladang. Ia juga telah menyebabkan beribu pekerja ladang dari kalangan kulit hitam telah hilang pekerjaan dan mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi.
Pergolakan politik antara parti pemerintah, Zimbabwe African National Union - Patriotic Front (ZANU-PF) dan pembangkang, Movement of Democratic Change (MDC) juga menjadi penyebab kekacauan di dalam negara. Warga negara yang didapati menyokong MDC akan ditangkap dan disiksa oleh kumpulan veteran perang liberalis. Pilihanraya pada 2002 juga dikatakan telah disabotaj oleh pemerintah. Keadaan menjadi genting dan rakyat berada dalam ketakutan. Kekecohan semakin teruk pada pilihanraya 2008 di mana berpuluh ahli MDC telah disiksa dan dibunuh.
Kekecohan telah menyebabkan mata wang jatuh teruk di mana, kadar Z$1 yang boleh membeli 50 sen US semasa ekonomi memberangsangkan suatu ketika dulu, semakin jatuh dan jatuh sehingga pada suatu ketika sekitar 2007, kadar inflasi jatuh 10,000 peratus. Pada tahun 2005, kerajaan memperkenalkan mata wang Z$100 trilion (15 kosong) dan pengedar mata wang gelap membeli 1 dolar US pada kadar Z$1 milion pada 2007.
****************
Oh, banyak yang saya rasa nak cerita tapi eloklah saya berbalik kepada cerita ibu bapa penulis.
Pada satu ketika semasa penulis pulang ke rumah ibu bapanya, dia terperanjat melihat pusat peranginan ibu bapanya telah bertukar menjadi pusat kegiatan pelacuran setelah pusat tersebut terpaksa ditutup kerana tiada lagi pelancong yang datang disebabkan kekecohan politik dan ketidakstabilan ekonomi serta keamanan negara pada ketika itu. Seorang bangsa kulit hitam telah menyewa bar di resort tersebut dan ia menjadi terkenal di kalangan orang-orang kaya serta ahli politik kulit hitam di bandar kerana resort tersebut terletak di kawasan yang tersorok. Mereka-mereka ini membawa teman wanita mereka dan menyewa chalet di resort tersebut.
Pada ketika yang lain, penulis terperanjat setelah mendapati bapanya menanam marijuana di kawasan peranginan mereka, sebagai salah satu cara menambah pendapatan. Pada ketika yang lain, setelah berlian dijumpai di Zimbabwe, resort tersebut menjadi tumpuan penyeludup berlian yang terdiri dari anak-anak muda yang menjadi kaya dengan sekelip mata. Pada ketika barang makanan susah didapati, anak-anak muda ini sanggup membayar Z$1 milion untuk segelas beer di bar di resort tersebut.
Berbagai kesusahan serta cabaran kehidupan ditempuhi oleh ibu bapanya untuk meneruskan hidup di negara kelahiran mereka. Kemuncak cerita adalah bila mana tanah mereka juga telah dirampas oleh kerajaan dan sekumpulan veteran perang mendatangi rumah ibu bapanya bersama senjata. Ibu bapanya yang berumur 70-an pada ketika itu, tidak sempat melarikan diri dan telah ditahan oleh veteran perang tersebut. Dua orang pekerja setia mereka telah dipukul dan disiksa. Walau bagaimana pun, mereka diselamatkan oleh Tendai, penyewa bar mereka pada waktu itu kerana Tendai adalah anak saudara kepada seorang menteri yang dikenali sebagai Top Man.
Kisah yang disampaikan adalah kisah pergolakan, peperangan, penindasan, penyiksaan rakyat Zimbabwe dari kalangan kulit putih serta rakyat biasa kulit hitam. Tetapi penulis berjaya menyampaikan cerita dengan cara bersahaja yang membuatkan kita boleh tersenyum sendiri atau tertawa, terutamanya semasa menceritakan kisah kehidupan ibu bapa nya.
*********************
Banyak sebenarnya yang saya nak tulis. Itu menggambarkan betapa buku ini memberi impak kepada saya. Selepas baca saya menggoogle penulis dan menjumpai page ini: http://www.douglasrogers.org/books.html
Di sini ada dimuatkan gambar-gambar orang yang disebut di dalam buku seperti ibu bapa penulis, 2 orang pekerja setia mereka, 2 orang penyewa bar yang membawa perubahan dalam kehidupan ibu bapanya, serta gambar pengedar haram berlian pun ada. Puas hati dapat melihat rupa orang-orang yang terlibat serta dapat melihat pemandangan di resort tersebut setelah hanya membayangkannya semasa pembacaan.
**********************
Saya memang suka membaca memoir. Buku ini saya beli setahun lepas semasa jualan murah Big Bad Wolf, RM8 sahaja. Jualan murah ini akan diadakan lagi pada hujung minggu ini dan saya pasti akan mencari lagi buku-buku memoir nanti. Tanoshimi :)
★★★★★
Buku ke 23, 2013
1 comments:
santik template ni! ^^
Post a Comment