Wednesday, December 31, 2014

Hiroshima Duka Sebuah Perang

0 comments
Salleh De Ran, 2011

Pernah baca buku yang menceritakan perkara yang lebih kurang sama dan pernah dengar juga cerita pengalaman rakyat Malaysia yang berada di Hiroshima semasa pengeboman Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 oleh pihak Amerika.

Saya membeli buku ini semasa di jualan murah BBW kerana berfikir mungkin ada kisah lain yang tidak saya ketahui sebelum ini yang dipaparkan di buku ini.

Buku ini berkisar 4 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di Hiroshima. Nama-nama pelajar Malaysia itu tidak sama dengan nama-nama pelajar Malaysia yang sebenarnya berada di Hiroshima pada waktu itu, jadi sememangnya novel ini adalah fiksyen semata-mata tetapi berdasarkan sejarah.

Nama-nama orang Jepun yang digunakan juga agak pelik kerana selalunya nama orang Jepun adalah gabungan nama keluarga dan nama sendiri dan jika mereka anak dan emak, selalunya mereka menggunakan nama keluarga yang sama tetapi di buku ini, nama gabungan nama mereka agak pelik. Nama-nama watak sebenar contohnya panglima perang dan perdana menteri semuanya ok tetapi nama-nama watak fiksyen yang lain agak pelik yang membuatkan saya terfikir; penulis tidak membuat penyelidikan yang betul walaupun kepada perkara yang kecil seperti ini.

Buku ini jelas sekali buku fiksyen untuk kanak-kanak yang ingin mengetahui tentang sejarah.

Walau bagaimana pun, ada juga perkara baru yang saya dapat dari buku ini. Ia mengenai sebelum Jepun menyerah kalah. Diceritakan walaupun maharaja telah memutuskan Jepun perlu menyerah kalah kerana kasihan dengan penderitaan rakyat Jepun, pihak tentera tidak mahu mengalah sebaliknya mahu menentang habis-habisan kerana mereka percaya yang mereka boleh menang. Oleh itu mereka telah berpakat untuk menculik maharaja sebelum maharaja membuat pengumuman menyerah kalah di radio. Walau bagaimana pun maharaja berjaya melarikan diri.


★★★
Buku ke 20, 2014

Sunday, December 28, 2014

The Redeemer

0 comments
Jo Nesbo, 2005

Cerita bermula dengan monolog seorang anak gadis yang dirogol di kem Salvation Army pada tahun 1991. Dia berumur 14 tahun pada masa itu.

Pada masa sekarang dimulakan dengan monolog seorang pembunuh upahan berbangsa Croatia yang digelar The Redeemer semasa remaja lagi kerana kecilikannya menyebabkan dia berjaya mengebom beberapa kereta kebal Serb semasa peperangan Vukovar yang melibatkan bangsa Serb dan Croat di wilayah Vukovar pada tahun 1991. Dia sekarang adalah pembunuh upahan yang sangat licik dan beroperasi di beberapa negara Eropah. Dan dia datang ke Oslo kerana diupah membunuh Jon Karlsen, seorang pegawai di Salvation Army.

Setelah menempak tepat di kepala seorang pemuda yang menurut info yang diberi adalah Jon Karlsen, pembunuh upahan tersebut bergegas ingin pulang ke tempat asalnya. Walau bagaimanapun disebabkan salji yang lebat, penerbangannya telah tertangguh hingga dia terpaksa menunggu lama. Dan semasa menunggu itu, dia terbaca suratkhabar yang menyatakan pemuda yang mati ditembak dikenali sebagai Robert Karlsen dan bukannya Jon Karlsen!

Dengan itu, dia terpaksa berpatah balik dan cuba mencari Jon Karlsen.

*****

Siapa anak gadis yang dirogol itu dan adakah dia mempunyai kaitan dengan pembunuh upahan?
Siapa Robert Kalsen dan Jon Karlsen dan mengapakah Jon Karlsen menjadi sasaran pembunuh?

Kebiasaan cerita Jo Nesbo yang suspen dari mula hingga penghujung. Dari mula hingga penghujung penulis berjaya membuatkan kita meneka-neka siapakah penjahat dalam cerita ini?

Juga karektor Inspektor Harry Hole yang seperti biasa, tidak pandai bersosial dan tidak pandai menjaga dan mengambil hati orang. Juga dia seorang yang selalu kalah dengan arak walau cuba untuk tidak menjadi mabuk untuk beberapa lama.

*****

Tetapi cerita kali ini pada saya kurang suspen dan kurang drama jika dibandingkan novel Nemesis yang saya baca sebelum ini. Pada saya ia agak mengambil masa untuk mencapai klimaks cerita. Saya cepat-cepat mahu tahu siapa yang jahat sebenarnya dan motifnya? Dan juga saya sudah dapat meneka siapa yang jahat itu sebenarnya (walau tidak tahu motif) kerana saya sudah seperti dapat "membaca" cara penulisan Jo Nesbo selepas membaca 3 buah buku karya beliau sebelum ini. Mungkin kali ini saya rasa macam ni sebab ada rasa "bodohnya Harry Hole ni sebab tak dapat lagi tangkap penjahat" haha!

Walaupun begitu ia masih salah satu karya yang bagus serta penuh suspen. Dan saya rasa sedih juga kerana sekali lagi Harry kehilangan partnernya, Halvorsen yang sangat baik dan menghormati Harry walaupun Harry bukanlah seorang yang senang disukai.

★★★★
Buku ke 19, 2014




Tuesday, December 23, 2014

Nemesis

0 comments
Jo Nesbo, 2002

Kali ini inspektor Harry Hole menyiasat rompakan yang berakhir dengan pembunuhan di sebuah bank oleh seorang perompak bertopeng. Perompak tidak meninggalkan sebarang bukti, malah tidak memandang CCTV dan tidak mengeluarkan suara sendiri. Ini merumitkan kerja pihak polis.

Pada satu malam, Harry menerima jemputan makan malam oleh bekas teman wanitanya. Tetapi selepas itu Harry terjaga dari tidur tanpa mengingati sedikit pun apa yang berlaku pada malam sebelumnya. Dia tidak tahu macamana dia boleh pulang ke rumah dan juga dia kehilangan telefon bimbitnya. Pada pagi itu juga dia dapat panggilan telefon untuk menyiasat pembunuhan di sebuah tempat dan dia dapati mangsa adalah bekas teman wanita yang dia jumpa pada malam sebelum itu!

Kisah Harry menyiasat rompakan dan pembunuhan di bank dan juga kisah dia cuba membuktikan yang dia tidak bersalah atas pembunuhan bekas teman wanitanya.

****

Kisah siri Inspektor Harry Hole kali ini juga sangat menarik kerana kes rompakan dan pembunuhan yang rumit.

Inspektor Harry seperti biasa, seorang yang sangat komited dengan kerjanya sehingga tidak menghiraukan kehidupan peribadinya. Dia bukan lah seorang yang pandai bersosial dan tidak disukai oleh sesetengah orang, terutamanya orang-orang kaki bodek yang menjadi ketuanya. Tetapi karektor begini lah yang membuatkan cerita ini menjadi menarik sebenarnya.

★★★★★
Buku ke 18, 2014

Thursday, December 18, 2014

Travelog Cinta Abadi : Masa Yang Berlalu

0 comments
Roza Roslan, 2010


Pada mula pembacaan saya rasa penceritaan tidak digarap dengan baik. Agak tidak teratur dan kelihatan seperti terlalu skema.

Walaubagaimana pun semakin lama saya jadi semakin tertarik. Bukan pada bahasa yang digunakan tetapi pada cerita yang disampaikan oleh penulis.

Ini kisah penulis sejak kecil. Beliau membesar di satu daerah di Johor sebelum berpindah ke daerah lain yang lebih pendalaman. Ayahnya seorang guru dan ibunya surirumah. Adik-beradik ramai perempuan, kalau tak silap ada 6 perempuan, sehinggalah ibunya melahirkan seorang anak lelaki. Beliau anak kedua.

Apa yang menarik pada saya ialah pengalaman hidup beliau semasa kecil. Banyak perkara yang ditempuhinya, tidak saya alami semasa kecil. Emak saya juga suri rumah dan arwah ayah adalah askar dulu, tapi kami tinggal di kem askar semasa ayah masih berkhidmat jadi tiada pernah perlu membuat perkara luarbiasa untuk hidup. Hidup biasa, makan, tidur, main dan belajar untuk jadi pandai.

Tetapi penulis bukan hanya makan, tidur dan belajar. Beliau juga perlu mengemas rumah, memasak untuk adik-adik dan keluarga, mencari wang belanja dan membantu di kebun semasa zaman kanak-kanak. Malah beliau tidak mempunyai masa untuk belajar dan bermain-main seperti orang lain kerana semua perkara lain memerlukan masa dan tenaga beliau. Terutamanya selepas kakak sulung melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama penuh dari tingkatan 1. Selepas itu semuanya terpaksa ditanggung oleh beliau kerana ibu dan bapanya sibuk mengerjakan kebun koko setiap hari (selepas ayahnya pulang dari mengajar)

Bayangkan belum pun bersekolah menengah terpaksa menjaga dan memberi makan adik-adik yang masih kecil yang seramai 5 orang, di rumah yang tiada bekalan air dan api pula. Masak menggunakan kayu api, dan malam perlu dinyalakan pelita. Apabila bersekolah menengah terpaksa pula duduk bersendirian dengan 2 adiknya di bandar berdekatan kerana tiada perkhidmatan bas untuk berulang-alik ke sekolah di kampungnya.

Tetapi walaupun terasa sayu, ada bahagian yang membuatkan saya ketawa kecil dan memang rasa respek kepada penulis. Ia adalah bahagian yang menceritakan mengenai penulis menyepak flying kick seorang gangter sekolahnya, bahagian dia memanjat pokok untuk mengambil buah-buahan dan bahagian dia bersemuka menyatakan ketidakpuasan hati kepada pemandu bas yang dinaikinya setiap pagi - kerana walau dia membayar yuran tetap bas, dia jarang mendapat tempat duduk kerana bas penuh sebab pemandu ambil juga orang yang tidak membayar yuran tetap. Jadi saya memang sangat respek dengan penulis yang sangat berani, kuat dan pandai berdikari.

****

Secara keseluruhan perjalanan hidup beliau memang sangat menarik. Sangat berwarna-warni dengan pelbagai cabaran. Penceritaan juga sangat bagus dan ringkas.

Cuma satu sahaja yang saya kurang minat ialah, bahagian dialog yang ditulis dalam "  " menggunakan bahasa penulisan. Terasa tidak selesa membaca dialog yang berbahasa penulisan. Terasa terlalu skema dan tidak asli. Lebih elok rasanya jika ia ditulis dengan bahasa percakapan supaya kita dapat rasa "keaslian" sebab mana ada orang yang cakap dengan tatabahasa yang sempurna dan menggunakan perkataan yang lengkap. Bahasa percakapan dan penceritaan tidak sama, jadi apabila dialog menggunakan bahasa penceritaan, maka dialog menjadi "keras" dan tidak asli. Ini pendapat saya.


★★★★
Buku ke 17, 2014

* Penulis adalah pensyarah di UiTM dan isteri kepada penulis "Travelog Haji" Prof Muhd Kamil Ibrahim

Saturday, December 6, 2014

Sebongkah Batu Di Kuala Berang

2 comments
Faisal Tehrani, 2011

Karya Faisal Tehrani kali ini ialah mengenai sekumpulan pelajar Akademi Seni Islam yang ingin membuat filem dokumentari drama mengenai kedatangan Islam ke Tanah Melayu dengan memfokuskan kepada sejarah Batu Bersurat yang dijumpai di Kuala Berang.

Saya mengakui Faisal Tehrani sememangnya seorang karyawan yang bagus kerana dari karyanya kita boleh tahu yang beliau seorang cendiakawan. Beliau banyak menulis unsur-unsur sejarah yang saya sebagai orang yang tidak menyelidik tentang sejarah ni, memanglah tak tau apa. Tapi memang sangat respek dengan pengetahuan beliau. Sebab kita kena sangat banyak membaca dan menyelidik untuk menulis dan mengaitkan beberapa perkara dalam satu buku. Dan beliau meletak senarai sumber-sumber rujukan di bahagian belakang novel supaya kita tahu yang sumber-sumber itu sah dan bukan rekaan. Ini kadang-kadang tidak dipedulikan oleh sesetengah penulis novel yang cuba menulis unsur sejarah dalam novel mereka tetapi tidak menyatakan sumber. Kita menjadi tertanya-tanya samada itu rekaan fantasi penulis ataupun fakta. (Mungkin juga rekaan semata-mata sebab itu tiada sumber :)

Walaupun begitu, pada pendapat saya terlalu banyak yang ingin disampaikan oleh penulis dalam sebuah novel nipis. Banyak watak-watak sejarah, nama-nama yang disebut di dalam buku ini yang menyebabkan saya sebagai orang yang tak tau apa-apa ni rasa sedikit pening (haha!) dan mengakibatkan saya kadang-kadang baca sekali lalu sahaja tanpa cuba memahaminya.

Serta saya kurang bersetuju apabila Faisal menamakan watak artis yang berlakon filem dokumentari drama tersebut dengan nama Sharifah Ezzati (Nono), Seeta Adeeni, Azhan Kaya serta menulis tentang perangai mereka yang membuatkan kita rasa "macam kenal aje..., macam pernah dengar aje.." Kenapa Faisal perlu menamakan watak-watak serta perangai mereka seperti seseorang yang memang sebenarnya wujud? Mungkin Faisal boleh membangkang pandangan kita dengan mengatakan "itu semua rekaan semata-mata, malah nama pun tak sama" tetapi mengapa perlu menggunakan nama-nama itu dalam novelnya? Pada saya, penulis nampak seperti kebudak-budakan pula apabila menggunakan pendekatan ini.

Bagaimanapun saya sangat bersetuju apabila Faisal ada menyebut beberapa kali yang Hollywood menggunakan media filem untuk mengubah sejarah jadi kenapa kita tidak menggunakan media yang sama untuk menangkis serangan-serangan budaya dari barat tersebut. --- sesuatu yang elok difikirkan oleh orang-orang filem ---> sudah-sudahlah membuat filem gangster, rempit, rogol, bohsia (saya dengar cerita aje, nak tengok memanglah tak lalu...) yang tiada unsur-unsur ilmuan sebaliknya memberi pengaruh negatif kepada remaja pada pendapat saya. (serius memang tak lalu nak tengok)

Kesimpulannya, buku ini telah memberi sedikit pendedahan kepada saya tentang kedatangan Islam ke Malaysia. Walau saya tidak dapat menghadamkan semua info tetapi saya mendapat sedikit gambaran sejarah yang tidak pernah saya baca sebelum ini. Ok lah tu kan....dengan baca novel fiksyen, kita dapat tau sikit tentang sejarah ;)

★★★
Buku ke 16, 2014

p.s: Baru tau yang buku ini pernah diharamkan oleh JAKIM kerana katanya ada unsur Syiah. Wallahualam.

p.s: Entah kenapa saya tiba-tiba teringat pada cerita arahan Rahim Razali dan lakonan Eman Manan, "Matinya Seorang Patriot" yang saya tonton semasa remaja. Cerita ini menang Filem Terbaik dan beberapa anugerah lain pada tahun 1984. Walau masih remaja ketika itu, saya sangat suka cerita ini. Tiada unsur-unsur gangster, rogol, bohsia yang jelek.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template