Wednesday, June 26, 2013

The Kid

1 comments
The Kid & The Kid Moves On
Kevin Lewis, 2003 & 2005

Buku menceritakan kisah benar tentang kehidupan penulis, Kevin Lewis sejak dari kecil sebagai salah seorang anak yang didera dengan kejam oleh ibu bapa sendiri.

Semasa kecil, dia tinggal di sebuah rumah kecil berwarna pink "The Pink Tin House" bersama ibubapa nya dan 6 orang adik-beradik yang masih kecil. Dia adalah anak kedua dalam keluarganya.

Bapanya Dennis, pekerja di syarikat keretapi, adalah seorang yang pendiam dan sangat meminati Elvis Presley. Apabila pulang dari kerja dia akan berada di dapur sambil minum arak dan mendengar lagu Elvis sepanjang hari.

Ibunya Gloria, tinggi lebih 6 kaki, adalah seorang pembengis, sentiasa bercakap dengan suara kuat seperti menjerit.

Disebabkan pendapatan ayahnya tidak mampu menampung keluarga, mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan kebajikan yang disalurkan setiap minggu.

Walaupun begitu, sebahagian wang digunakan untuk membeli rokok dan arak ibu bapanya. Ini menyebabkan anak-anak yang sedang membesar sentiasa berada dalam kelaparan. Mereka pergi ke sekolah dengan pakaian yang tidak pernah dicuci dan sentiasa kelaparan.

Rumahnya kotor, lantai, cadar tidak pernah dicuci serta kertas dinding yang koyak rabak. Untuk jimat bil elektrik, bilik anak-anak dibiarkan gelap tanpa lampu.

Selepas semua masuk ke bilik tidur, tiada siapa dibenarnya turun ke dapur kerana Gloria bimbang anak-anaknya akan mencuri makanan di dalam peti ais. Jika mereka tertangkap, mereka akan dipukul dengan teruk.

Gloria sentiasa kejam dan bengis terutamanya kepada Kevin, anak kedua yang agak nakal dan aktif semasa kecil. Dia akan menjadi mangsa pukulan dan sepakan bertubi-tubi ibunya dan sekali-sekala ayah dan ibunya akan sama-sama jadikan dia "punch bag" apabila mereka bertengkar sesama sendiri. Kadang-kala dia tidak dapat bangun beberapa hari kerana deraan mereka.

Kisah anak kecil yang didera dengan kejam oleh ibu bapa sendiri. Kisah anak kecil yang sentiasa kelaparan dan menjadi ejekan di sekolah kerana berbau busuk dan hancing. Kisah anak kecil yang ingin menjerit meminta bantuan tetapi tidak berani kerana terlalu takut didera dengan lebih teruk jika ibubapanya mendapat tahu yang dia cuba mendapatkan bantuan.

★★★★
Buku ke 13, 2013

*****************************************

Kisah ini mengingatkan saya kepada satu kejadian yang berlaku di depan mata sendiri.

Kisah di stesen minyak di Gambang seingat saya.

Semasa saya sedang menunggu suami mengisi minyak, saya ternampak seorang lelaki (seperti seorang ayah) yang memarahi anak lelakinya (kelihatan seperti berumur 10 -12 tahun) dan menolaknya masuk ke dalam kereta. Di belakang kereta itu berdiri diam seorang perempuan (ibu? atau teman wanita?) dan kanak-kanak perempuan kecil yang hanya memerhatikan perlakuan ayah kepada anak lelakinya itu.

Saya lihat setelah menolak budak lelaki itu ke dalam kereta, dia menumbuk dan melempang budak itu bertubi-tubi! Bertubi-tubi, bertubi-tubi!

Saya yang sangat terkejut melihat kejadian itu seperti terpaku tidak terkata. Seumur hidup saya tidak pernah melihat sesuatu yang betul-betul berlaku seperti itu. Ini bukan drama TV! Ini betul-betul berlaku. Budak lelaki itu betul-betul ditumbuk dan dilempang bertubi-tubi!

Saya cuba menjerit tetapi suara seperti tidak keluar dari tekak. Mungkin kerana sangat tergamam.

Wanita yang menunggu di luar kereta itu pula langsung tidak cuba meleraikan "pergaduhan" itu. Dia dan kanak-kanak perempuan memasuki kereta, dan lelaki itu juga cepat-cepat memasuki kereta dan mereka beredar dari stesen minyak.

Saya sangat tergamam!

Suami pula langsung tidak sedar kejadian sebab dia sedang mengisi minyak dan membelakangi kereta tersebut.

Setelah mereka pergi baru saya sedar.

Saya terfikir, kenapalah saya tidak keluar dari kereta dan cuba berbuat sesuatu.

Kenapa saya tidak berani?

Kenapa saya tidak cepat bertindak?

Sampai sekarang pun saya masih ingat kejadian itu......

Jika ayahnya boleh buat begitu di tempat awam, bagaimana nasib budak itu semasa di rumah?
Adakah dia sentiasa menjadi mangsa baran ayahnya?

Biar di mana pun dia berada, saya berdoa dia telah mendapat bantuan yang diperlukannya.
Atau, semoga ayahnya tidak lagi menderanya....

Itu saja yang boleh saya fikirkan....


*********************************************

Thursday, June 6, 2013

最後まで

2 comments
Hari ini dapat e-mel dari teman sekerja semasa di PPKTJ dulu, bersama lampiran berupa sebuah karangan bertajuk 「最後まで」.

Dia kata semalam dia terjumpa karangan ini yang saya tujukan kepada pelajar pada tahun 2005.

Saya sendiri sebenarnya sudah tidak ingat langsung perkara ini.

Tetapi memang sah tulisan saya dan karangan saya dan juga cerita saya.

Rasanya ada beberapa kali juga saya ceritakan kisah ini kepada pelajar.

Cuma hanya ini sekali sahaja yang saya ceritakan dalam bentuk penulisan.

Semasa membaca tadi, tak tahu kenapa bergenang air mata....

Tulisan diri sendiri pun sendiri nak terharu, bodoh kan? hehe.

Walau ada kesalahan tatabahasa yang berjaya dikesan (adakah maksudnya bahasa jepun saya lebih power dari 8 tahun lepas? perasan tak habis :P)

Tapi saya mahu simpan ini sebagai salah satu kenangan paling berharga dalam hidup saya.

Kalau Bahasa Jepun kita kata 貴重(きちょう); precious ; berharga :)






Thursday, May 23, 2013

The Almost Moon

0 comments
Alice Sebold, 2007

Buku yang menceritakan Helen, 49 tahun, seorang janda beranak dua, yang membunuh emaknya, 86 tahun yang sakit jiwa sejak Helen masih kecil lagi.

Buku ini suram, gelap. Watak Helen dan ibu, serta ayahnya yang mati kerana membunuh diri juga semuanya "tidak biasa". Helen yang dipelihara oleh kedua ibubapa yang begitu, akhirnya tidak dapat hidup seperti biasa juga. Dia akhirnya bercerai.

Buku ini dimulai dengan kisah bagaimana dia membunuh ibunya, di selang-seli dengan kilas semula kisah-kisah lama.

Agak susah untuk menyukai buku ini tetapi ia berjaya juga membuatkan saya membaca sampai habis. Banyak pertanyaan yang ditinggalkan, adakah sengaja ditinggalkan supaya pembaca dapat "berfikir sendiri" atau jika berfikir dari segi lain, penulis sebenarnya tidak menggarap cerita dengan baik.

Saya sangat menyukai novel pertama penulis, "The Lovely Bones". Novel kali ini juga gelap tetapi berbanding TLB, ia samar. Gelap dan samar. Jadi tiada perasaan puas walaupun sudah habis membaca.

Mungkin tiada kepuasan juga yang menyebabkan saya membaca sampai habis. Kerana ingin mencari kepuasan dan mengharapkan ia akan disuap di mana-mana. Bagaimanapun sehingga akhir dan setelah menutup buku pun, perasaan masih samar...samada ingin menyukai atau membenci buku ini...saya sendiri tidak pasti...

Tidak mengesyorkan kepada sesiapa yang mencari "kepuasan" atau "pengajaran" dalam sesebuah pembacaan.

★★★
Buku ke 12, 2013

Saturday, May 11, 2013

The Love Letter

0 comments
Fiona Walker, 2012

Novel 665 muka surat yang dimulai dengan beberapa emel antara Allegra, Gordon Lapis, Kelly dan Conrad.

Allegra (Legs) adalah PA kepada ketua di sebuah syarikat penerbitan, Conrad, seorang duda beranak dua yang juga kekasih Allegra. Gordan Lapis pula adalah seorang pengarang terkenal yang dikendalikan oleh syarikat Conrad. Kelly pula adalah PA kepada Gordon. Walaupun Legs selalu berutus emel dengan Gordon dan Kelly, dia tidak pernah bertemu dengan Gordon dan Kelly, malah tiada sesiapa yang pernah berjumpa dengan Gordon kecuali Conrad.


Pada satu hari Conrad meminta Legs menguruskan supaya Gordon dapat akhirnya menemui peminat di satu pesta seni tahunan yang dikendalikan oleh keluarga Francis, bekas tunang Legs yang juga rakan sepermainan sejak kecil lagi. Walaupun Legs agak keberatan kerana ia bermaksud dia terpaksa menemui Francis dan keluarganya tetapi disebabkan kerja dia terpaksa juga melaksanakannya.

Watak misteri dan menarik dalam cerita ini adalah Gordon Lapis. Dia adalah pengarang cerita pengembaraan kanak-kanak yang terkenal. Sudah lebih 5 nashkah buku telah dihasilkan dan telah dialihbahasa kepada beberapa bahasa di seluruh dunia. Tetapi tiada siapa yang tahu mengenai dirinya kerana dia tidak pernah muncul di mana-mana. "Gordon Lapis" pula adalah nama penanya sahaja.

Jadi, siapakah Gordon Lapis? Dari emelnya, dia seperti seorang tua yang cerewet. Tetapi adakah sebenarnya begitu orangnya?

Walaupun begitu kekurangan novel ini adalah cerita yang terlalu panjang pada pendapat saya. Beberapa plot yang tidak signifikan yang boleh dibuang. Juga terdapat typo di beberapa tempat.

Satu lagi buku RM8 yang berbaloi! :)
★★★★
Buku ke 11, 2013

Thursday, April 25, 2013

金のゆりかご

0 comments
A.Kitagawa, 2001

Selesai membaca sebuah novel yang ceritanya agak rumit sehingga saya pernah berhenti meneruskan pembacaan beberapa bulan dahulu. Ye, saya sendiri sudah lupa bila saya mula membaca buku ini.

Ia mengisahkan Nogami, seorang pemandu teksi yang didatangi oleh Kudo pada satu hari. Kudo adalah pengarah di Pusat Pendidikan Kanak-Kanak GCS - pendidikan bermula dari 0 tahun, yang diasaskan oleh Dr Chikamatsu. Kudo menjanjikan pendapatan yang mewah kepada Nogami jika beliau menerima tawaran pekerjaan tersebut. Bagaimanapun Nogami pada mulanya tidak mahu  serta tertanya-tanya kenapa dia ditawarkan kerja di situ.

9 tahun lepas berlaku beberapa turutan kejadian yang melibatkan 4 orang kanak-kanak peserta program di pusat tersebut. Kanak-kanak tersebut dikatakan telah mendapat gangguan mental akibat latihan yang diikuti di program tersebut.

Kasai adalah seorang wartawan yang cuba mencungkil apakah yang sebenarnya berlaku 9 tahun lepas. Setelah mendapat tahu Nogami mendapat tawaran kerja di pusat itu, Kasai menemui Nogami untuk memujuknya untuk menbantu dalam siasiatannya.

Bahagian awal novel ini sangat rumit dan tidak menarik pada pendapat saya. Kisah Nogami mencari sebab dia ditawarkan pekerjaan. Dia melawat pusat tersebut untuk mendapatkan informasi. Banyak penerangan tentang pusat tersebut dan corak pendidikan yang dijalan pada bahagian awal yang membuatkan saya agak bosan untuk meneruskan pembacaan.

Bagaimanapun selepas itu jalan cerita menjadi semakin menarik dan suspen.

Kenapa Nogami ditawarkan kerja di situ?
Apa hubungan Nogami dengan Dr Chikamatsu?
Apa yang telah terjadi kepada 4 orang kanak-kanak tersebut?
Kasai telah dibunuh. Siapa yang membunuh Kasai dan mengapa?
Siapakah dalang kepada pembunuhan?

Beberapa kali terdapat perkembangan yang baru kepada jalan cerita sehingga kita tidak tahu siapakah sebenarnya dalang sehingga penghujung cerita.

Cuma kekurangan novel ini ialah ia terlalu panjang dan terlalu banyak perkembangan baru dalam cerita.
Juga watak utamanya, Nogami, agak hambar dan tidak signifikan.


★★★★
Buku ke 10, 2013

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template