Thursday, April 24, 2014

疾風ロンド

0 comments
東野圭吾、2013


Novel ini omiyage dari Cik Pah yang saya terima pada 15 Mac lalu.

Beberapa mukasurat terakhir novel ini saya baca dengan kuat di dalam kereta semasa Cik Pah sedang memandu kereta dari Kemaman ke Kelana Jaya.

Niat membaca dengan kuat ialah supaya Cik Pah tidak bosan - saya baca buku sedangkan dia bawa kereta.

Lagipun tinggal beberapa muka surat sahaja....adalah 7,8 mukasurat rasanya, maka tidaklah sampai sakit tekak ke....

Tapi respek pada Cik Pah sebab dia boleh beri perhatian dengan apa yang saya baca dalam keadaan dia yang mesti fokus pada jalanraya!

Dan saya perasan seolah-olah diri adalah pengarang novel yang sedang membacakan novel sendiri kepada peminat saya di sebuah kedai buku! (hehe)


************kenangan bersama Cik Pah************


Kusuhara, menyeludup keluar dari makmalnya beberapa botol "K-55" - sejenis senjata biologi yang telah dihasilkan tanpa kebenaran. Dia menanamkan senjata tersebut di bawah sebatang pokok yang ditenggelami salji. Di batang pokok tersebut dia menggantung sebiji patung teddy bear yang diisi sebuah alat pemancar isyarat. Senjata biologi tersebut, apabila terdedah kepada suhu tertentu, ia akan meresap di udara dan membunuh sesiapa sahaja yang menyedut udara yang telah terdedah itu.

Kusuhara mengambil gambar pokok dan teddy bear, lalu menghantar e-mel kepada bekas ketuanya dan menggugut akan membiarkan senjata itu terdedah kepada udara jika dia tidak dibayar 30 juta yen.

Kuribayashi, ketua bahagian makmal mendapati senjata itu telah hilang dari simpanan dan terus berjumpa dengan ketuanya. Ketuanya pula menunjukkan emel tersebut dan mereka berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka tidak boleh melaporkan kepada polis kerana senjata itu telah dihasilkan tanpa kebenaran. Jika diketahui polis, kerjaya mereka sendiri akan terjejas.

Dalam masa berfikir itu, mereka mendapat panggilan telefon dari pihak polis yang mengatakan Kusuhara telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.

Ketua merasa lega kerana tidak perlu membayar wang tebusan.

Tetapi hanya Kusuhara seorang sahaja yang tahu di mana senjata itu ditanam.

Lalu Ketua mengarahkan Kuribayashi mencari senjata itu dengan petunjuk yang mereka ada, gambar pokok di kawasan salji dan teddy bear. Serta alat penerima isyarat yang mereka ambil dari dalam kereta Kusuhara.

*********

Kisah Kuribayashi dan anak lelakinya, pelajar sekolah menengah rendah yang sangat gemar bersnowboarding mencari tempat senjata ditanam berdasarkan petunjuk yang amat sedikit.

Berbagai rintangan yang mereka terpaksa tempuhi.

Walaupun wujud penjahat lain yang juga mahukan ubat itu, jalan cerita tetap menarik sehingga akhir cerita.

Kisah yang tidak berat dan senang dibaca.

★★★★
Buku ke 7, 2014


Wednesday, April 16, 2014

The Devil's Star

0 comments

Jo Nesbo, 2003 (dialihbahasa oleh Don Bartlett)

Kali ini Harry Hole menyiasat tentang pembunuhan bersiri - setiap mangsa dipotong satu jari dan ditinggalkan dengan sebiji permata berwarna merah dan berbentuk seperti bintang.

Mangsa pertama adalah seorang perempuan yang dibunuh di apartmentnya, mangsa kedua adalah seorang pelakon dan penyanyi cantik yang diculik di kawasan rumahnya - mayatnya tidak ditemui tetapi polis mendapat bungkusan yang berisi jari dan permata, mangsa ketiga adalah seorang sekretari syarikat yang dibunuh di tandas awam.

Bagaimana Harry menyiasat motif dan mencari pembunuh?

Adakah wujud mangsa ke empat dan seterusnya?

Pada cerita kali ini, Harry hampir dibuang kerja kerana dia terlalu taksub untuk mencari pembunuh rakannya Ellen (pada cerita yang lalu). Harry akhirnya dapat mencari saksi yang nampak kenderaan Inspektor Tom Waller berada di kawasan pembunuhan pada malam tersebut. Harry menceritakan kepada ketuanya mengenai perkara di atas - dan ketuanya menasihatkan Harry berfikir dengan mendalam kerana dia cuba mendakwa rakan sekerjanya. Ketuanya menasihatkan Harry bertemu dengan ketua yang lebih tinggi.

Semasa pertemuan dengan ketua yang lebih tinggi, Harry menceritakan penemuan penyiasatannya dan ketuanya memberitahu jika dakwaan Harry tidak berasas, Harry akan dibuang kerja kerana tidak setia kepada pasukannya. Selepas pertemuan dengan ketua ini, Harry mendapat tahu yang saksinya telah menarik diri dari memberi keterangan.

Harry menjadi tidak menentu dan mengulangi habit minum arak sehingga dia tidak lagi memperdulikan kerjanya.

Sehinggalah ketuanya memanggilnya untuk membantu penyiasatan pembunuhan bersiri tersebut.

Cerita kali ini lebih baik dari The Redbreast.

Ia menonjolkan watak Harry yang lemah, berputus-asa kerana siasatannya berbulan-bulan mengenai kematian rakan nya, telah balik ke titik asal. Dia sentiasa bermimpi mengenai Ellen dan juga mimpi tentang diri dan keluarganya. Hubungannya dengan teman wanita dan anaknya juga berada dalam keretakan kerana sifatnya itu.

Walau bagaimana pun jalan cerita sangat menarik kerana disamping "kelemahan" Harry, dia seorang detektif yang bijak dan jujur amanah yang membuatkan dia masih mempunyai beberapa orang yang mempercayainya dan bersedia membantunya.

Bagaimana dia menyiasat pembunuhan bersiri?
Bagaimana kes Ellen?
Dapatkan dia mendakwa inspektor Tom Waller yang mempunyai kabel yang kuat serta lebih dipercayai dan dihormati orang bawahan berbanding Harry?

★★★★★
Buku ke 6, 2014

Monday, March 31, 2014

The Redbreast

3 comments
Jo Nesbo, 2000 (Translated to English by Don Bartlett, 2006)

Dah dua minggu lebih habis baca buku ini tapi tak tulis-tulis lagi di sini...

Buku pertama yang saya baca dari karya Jo Nesbo. Tak kenal penulis dan tak pernah baca review karyanya tapi sebab kat kulit ada tulis "The next Steig Larsson" jadi saya pun terus percaya. Steig Larsson adalah penulis trilogi Millenium Series yang memang best.

Ok, mengenai buku ini.

Ia kisah Inspektor/Detektif Harry Hole yang cuba menyelesaikan kes pembunuhan yang melibatkan seorang bekas tentera semasa Perang Dunia ke 2, dan juga pembunuhan bekas partner nya Ellen serta kaitan dengan laporan penyeludupan senjata merbahaya ke Oslo.

Cerita ditulis berselang-seli antara kisah semasa perang dunia ke 2 dan kisah sekarang. Untuk kisah semasa perang dunia, ia menceritakan tentang beberapa orang pemuda Norway yang berjuang di German, berperang menentang Rusia. Kisah perang agak rumit sebab tak tahu kisah perang dunia ke 2 di Eropah.

Kisah zaman sekarang pula mengenai seorang tua yang mendapat tahu dia mengidap kanser dan cuma boleh bertahan beberapa bulan. Sejak itu dia membeli senjata secara haram dan mula membunuh.

Seorang pemuda penyokong Nazi yang ditangkap kerana memukul seorang keturunan Pakistan sehingga mati, telah terlepas dari hukuman kerana kesalahan teknikal pihak pendakwa. Dia telah membantu orang tua tersebut mendapatkan senjata. Setelah menjalankan penyiasatan Ellen telah hampir berjaya mengenalpasti penyeludup/dalang sebenar penyeludupan senjata tersebut tetapi dia telah dibunuh.

Jadi siapakah orang tua tersebut, apa motif dia? Siapa yang membunuh Ellen? Siapa dalang sebenar penyeludupan?

Watak inspektor Hole yang digambarkan sebagai tiada karisma sebagai pemimpin, punya kisah peribadi yang membuatkan dia sentiasa bergolak di dalam, tidak kisah dengan gaya dan kebendaan. Tetapi sangat komited pada tugas, baik hati kepada rakan-rakan serta amanah pada tugasnya membuatkan wataknya sebagai hero yang kita ingin sukai.

 Jalan cerita yang membuatkan kita tertanya-tanya siapakah penjenayah? sehingga ke saat akhir membuatkan kita berdebar membaca sehingga akhir. Juga akhirnya Hole dapat menyelesaikan satu jenayah tetapi bagaimana pula dengan satu jenayah yang lain? yang membuatkan saya hendak membaca buku seterusnya.

Satu yang penat tentang buku ini selain nama watak yang hampir sama dan tidak biasa didengar (sebab nama orang Norway) yang membuatkan kadang-kadang memaksa saya menyelak semula mukasurat di depan untuk mencari siapakah watak tersebut, ialah bab buku ditulis selang-seli antara kisah masa dahulu dan masa sekarang yang juga membuatkan saya terpaksa membelek semula mukasurat yang lepas untuk mengingati semula jalan cerita. Tetapi saya tempuh semuanya kerana jalan cerita dapat mengatasi kekurangan/kepenatan ini :)

★★★★★
Buku ke 5, 2014


Thursday, February 27, 2014

The Death And Life of Charlie St. Cloud

0 comments
Ben Sherwood, 2004

Charlie, 15 tahun, adalah remaja yang menjadi harapan ibunya serta masyarakat di bandar tempat tinggalnya kerana dia bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran dan sukan, tetapi juga baik perwatakan dan rupa yang kacak juga. Malangnya kehidupannya berubah sama sekali selepas kereta yang dipandunya kemalangan dan mengorbankan satu-satunya adiknya, Sam, 12 tahun.

Semasa mereka di ambang maut, Charlie telah berjanji kepada Sam yang mereka tidak akan berpisah sama sekali tetapi malangnya Charlie telah berjaya diselamatkan sedangkan Sam tidak bernasib baik.

Selepas kejadian itu, Charlie mendapati dia mendapat satu anugerah kerana dia masih dapat bertemu dengan Sam. Setiap petang pada saat yang sama dia akan berada di suatu tempat dan Sam akan datang untuk bermain lontar bola bersama.

Charlie sekarang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pengurus mayat di tapak kuburan di bandar tempat tinggalnya. Dia tidak pernah memungkiri janjinya dengan Sam selama lebih 13 tahun sejak kejadian kemalangan itu. Mereka masih seperti dulu, bertemu di satu tempat pada setiap hari dan bermain bola lontar bersama.

Bagaimanapun kehidupan Charlie berubah selepas dia bertemu Tess, seorang gadis cekal dan bertenaga yang sedang bersiap-sedia untuk menyertai pertandingan mengelilingi lautan seorang diri.

Apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Charlie akan memungkiri janjinya kepada Sam?

Cerita ini telah difilemkan pada 2010 dan dibintangi oleh Zac Efron. Dari trailer filem, saya mendapati ada sedikit kelainan dengan novel. Ada babak drama yang tidak ada di novel. Mungkin mereka menambah babak drama emosi untuk menarik perhatian penonton dan menambah rasa pada cerita. Mungkin juga filem lebih baik dari novel.

★★★★
Buku ke 4, 2014

Tuesday, February 25, 2014

Qaseh Puteri: Mengejar Bayangan Kasih Puteri

0 comments

Moh Dat Molok, 2011

Buku kedua dalam trilogi 'Qaseh Puteri' ini mengisahkan, bagaimana Tuan Besar Keramat Antonio Arantez mengusir Qaseh Puteri ke Goa bagi menutup segala dosa dan onarnya. Tetapi malang, Flor de La Mar yang dinaikinya dihalang dan dibedil oleh sebuah lancang kepunyaan Acheh. Di sudut lain selepas Panglima Hitam meninggal dunia, Panglima Muda Tun Mahmud dilantik sebagai ketua baru dalam 'Angkatan Singa Laut' bagi menggempur Portugis. Demi persahabatan, Mother Rosalia dan Nyi Gede bersama dengan sebuah ghali Portugis yang diketuai oleh Kapten Delgado, pergi menyiasat di tempat kejadian tanpa persetujuan Simao de Mello. Namun kelibat 'puteri junjungan' tidak berhasil dijumpai. Mungkinkah Qaseh Puteri sudah terkorban dalam pertempuran itu?

Sama seperti buku pertama, banyak perkara yang tidak nampak signifikan tetapi telah ditulis panjang lebar. Contohnya adalah adegan perdebatan tentang agama Islam dan Kristian di antara beberapa pemuda Islam dan paderi-paderi di sebuah gereja. Bahagian ini meliputi 45 muka surat pertama tetapi apa kena mengena adegan perdebatan ini dengan kisah Qaseh Puteri ini? Memang tidak nampak kaitan lansung.

Oleh itu seperti juga pada buku pertama, apa yang boleh dikatakan ialah garapan cerita buku ini tidak kemas. Terlalu banyak yang ingin disampaikan di dalam sebuah buku novel yang membuatkan semuanya menjadi tergantung dan separuh jalan. Selain dari itu percampuran antara fiksyen dan bukan fiksyen yang tidak dikawal dan tidak dijustifikasi telah menambahkan kekeliruan sahaja.

★★
Buku ke 3, 2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template