Kisah Jack, 5 tahun dan ibunya yang tinggal di sebuah Bilik - berukuran 11 kaki panjang dan 11 kaki lebar, yang mempunyai sebuah katil, sebuah almari, sebuah meja, dapur, tandas, kolah mandi dan sebuah tv serta beberapa buah buku. Tiada kecacatan pada keluasan dan barang-barang di dalam Bilik ini kan? Cuma...
Cuma di Bilik itu lah juga Jack telah dilahirkan ke dunia dan dia tidak pernah keluar dari Bilik tersebut seumur hidupnya!Bagi Jack, Bilik itu adalah "dunia"nya. Baginya segala di dalam bilik tersebut adalah "benar dan nyata" tetapi segala yang ditayangkan di tv adalah "tv" semata-mata - tidak benar dan tidak nyata. Baginya di luar "Bilik" itu adalah ruang angkasa yang tidak dihuni oleh sesiapa. Cuma kadang-kala seorang lelaki yang dipanggilnya "Old Nick" akan datang "melawat" dan membawa barang makanan serta "Sunday Treat" yang amat disukainya. Tetapi semasa "kedatangan" Old Nick, ibunya akan menyuruh Jack diam di dalam almari - Almari tempat Jack tidur semasa "kedatangan" Old Nick.
Walaupun Bilik itu adalah "dunia" kepada Jack, tetapi ia adalah "neraka" kepada ibunya kerana selepas ibunya diculik oleh Old Nick, 7 tahun yang lalu, dia tidak pernah dapat keluar dari bilik tersebut. Dia adalah mangsa culik dan rogol semenjak berumur 18 tahun.
Kisah penceritaan dari sudut pemikiran tentang dunia dan kehidupan seorang budak berumur 5 tahun. Kisah penderitaan yang ditanggung mangsa culik dan rogol yang "dipenjarakan" dari dunia luar selama bertahun-tahun.
Bagaimanakah mereka akhirnya dapat keluar dari "penjara" tersebut?
Dapatkah mereka hidup di dunia luar yang terlalu asing bagi mereka, terutamanya Jack yang tidak pernah terfikir adanya "dunia luar"?
Sebuah novel dengan garapan cerita yang sungguh baik dengan penyampaian watak Jack yang sungguh berkesan.
★★★★★
Buku ke-18, 2012.
*Penulis dikatakan mendapat inspirasi dari beberapa kisah benar terutamanya kisah yang berlaku di Austria. Kisah seorang ayah yang mengurung anak perempuannya selama 24 tahun dan juga merogolnya sehingga mendapat 7 orang anak. Ibunya sendiri tidak menyedari anaknya yang "hilang" rupanya tinggal di bilik bawah tanah rumahnya sendiri selama 24 tahun! http://en.wikipedia.org/wiki/Fritzl_case
0 comments:
Post a Comment