Monday, March 31, 2014

The Redbreast

3 comments
Jo Nesbo, 2000 (Translated to English by Don Bartlett, 2006)

Dah dua minggu lebih habis baca buku ini tapi tak tulis-tulis lagi di sini...

Buku pertama yang saya baca dari karya Jo Nesbo. Tak kenal penulis dan tak pernah baca review karyanya tapi sebab kat kulit ada tulis "The next Steig Larsson" jadi saya pun terus percaya. Steig Larsson adalah penulis trilogi Millenium Series yang memang best.

Ok, mengenai buku ini.

Ia kisah Inspektor/Detektif Harry Hole yang cuba menyelesaikan kes pembunuhan yang melibatkan seorang bekas tentera semasa Perang Dunia ke 2, dan juga pembunuhan bekas partner nya Ellen serta kaitan dengan laporan penyeludupan senjata merbahaya ke Oslo.

Cerita ditulis berselang-seli antara kisah semasa perang dunia ke 2 dan kisah sekarang. Untuk kisah semasa perang dunia, ia menceritakan tentang beberapa orang pemuda Norway yang berjuang di German, berperang menentang Rusia. Kisah perang agak rumit sebab tak tahu kisah perang dunia ke 2 di Eropah.

Kisah zaman sekarang pula mengenai seorang tua yang mendapat tahu dia mengidap kanser dan cuma boleh bertahan beberapa bulan. Sejak itu dia membeli senjata secara haram dan mula membunuh.

Seorang pemuda penyokong Nazi yang ditangkap kerana memukul seorang keturunan Pakistan sehingga mati, telah terlepas dari hukuman kerana kesalahan teknikal pihak pendakwa. Dia telah membantu orang tua tersebut mendapatkan senjata. Setelah menjalankan penyiasatan Ellen telah hampir berjaya mengenalpasti penyeludup/dalang sebenar penyeludupan senjata tersebut tetapi dia telah dibunuh.

Jadi siapakah orang tua tersebut, apa motif dia? Siapa yang membunuh Ellen? Siapa dalang sebenar penyeludupan?

Watak inspektor Hole yang digambarkan sebagai tiada karisma sebagai pemimpin, punya kisah peribadi yang membuatkan dia sentiasa bergolak di dalam, tidak kisah dengan gaya dan kebendaan. Tetapi sangat komited pada tugas, baik hati kepada rakan-rakan serta amanah pada tugasnya membuatkan wataknya sebagai hero yang kita ingin sukai.

 Jalan cerita yang membuatkan kita tertanya-tanya siapakah penjenayah? sehingga ke saat akhir membuatkan kita berdebar membaca sehingga akhir. Juga akhirnya Hole dapat menyelesaikan satu jenayah tetapi bagaimana pula dengan satu jenayah yang lain? yang membuatkan saya hendak membaca buku seterusnya.

Satu yang penat tentang buku ini selain nama watak yang hampir sama dan tidak biasa didengar (sebab nama orang Norway) yang membuatkan kadang-kadang memaksa saya menyelak semula mukasurat di depan untuk mencari siapakah watak tersebut, ialah bab buku ditulis selang-seli antara kisah masa dahulu dan masa sekarang yang juga membuatkan saya terpaksa membelek semula mukasurat yang lepas untuk mengingati semula jalan cerita. Tetapi saya tempuh semuanya kerana jalan cerita dapat mengatasi kekurangan/kepenatan ini :)

★★★★★
Buku ke 5, 2014


Thursday, February 27, 2014

The Death And Life of Charlie St. Cloud

0 comments
Ben Sherwood, 2004

Charlie, 15 tahun, adalah remaja yang menjadi harapan ibunya serta masyarakat di bandar tempat tinggalnya kerana dia bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran dan sukan, tetapi juga baik perwatakan dan rupa yang kacak juga. Malangnya kehidupannya berubah sama sekali selepas kereta yang dipandunya kemalangan dan mengorbankan satu-satunya adiknya, Sam, 12 tahun.

Semasa mereka di ambang maut, Charlie telah berjanji kepada Sam yang mereka tidak akan berpisah sama sekali tetapi malangnya Charlie telah berjaya diselamatkan sedangkan Sam tidak bernasib baik.

Selepas kejadian itu, Charlie mendapati dia mendapat satu anugerah kerana dia masih dapat bertemu dengan Sam. Setiap petang pada saat yang sama dia akan berada di suatu tempat dan Sam akan datang untuk bermain lontar bola bersama.

Charlie sekarang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pengurus mayat di tapak kuburan di bandar tempat tinggalnya. Dia tidak pernah memungkiri janjinya dengan Sam selama lebih 13 tahun sejak kejadian kemalangan itu. Mereka masih seperti dulu, bertemu di satu tempat pada setiap hari dan bermain bola lontar bersama.

Bagaimanapun kehidupan Charlie berubah selepas dia bertemu Tess, seorang gadis cekal dan bertenaga yang sedang bersiap-sedia untuk menyertai pertandingan mengelilingi lautan seorang diri.

Apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Charlie akan memungkiri janjinya kepada Sam?

Cerita ini telah difilemkan pada 2010 dan dibintangi oleh Zac Efron. Dari trailer filem, saya mendapati ada sedikit kelainan dengan novel. Ada babak drama yang tidak ada di novel. Mungkin mereka menambah babak drama emosi untuk menarik perhatian penonton dan menambah rasa pada cerita. Mungkin juga filem lebih baik dari novel.

★★★★
Buku ke 4, 2014

Tuesday, February 25, 2014

Qaseh Puteri: Mengejar Bayangan Kasih Puteri

0 comments

Moh Dat Molok, 2011

Buku kedua dalam trilogi 'Qaseh Puteri' ini mengisahkan, bagaimana Tuan Besar Keramat Antonio Arantez mengusir Qaseh Puteri ke Goa bagi menutup segala dosa dan onarnya. Tetapi malang, Flor de La Mar yang dinaikinya dihalang dan dibedil oleh sebuah lancang kepunyaan Acheh. Di sudut lain selepas Panglima Hitam meninggal dunia, Panglima Muda Tun Mahmud dilantik sebagai ketua baru dalam 'Angkatan Singa Laut' bagi menggempur Portugis. Demi persahabatan, Mother Rosalia dan Nyi Gede bersama dengan sebuah ghali Portugis yang diketuai oleh Kapten Delgado, pergi menyiasat di tempat kejadian tanpa persetujuan Simao de Mello. Namun kelibat 'puteri junjungan' tidak berhasil dijumpai. Mungkinkah Qaseh Puteri sudah terkorban dalam pertempuran itu?

Sama seperti buku pertama, banyak perkara yang tidak nampak signifikan tetapi telah ditulis panjang lebar. Contohnya adalah adegan perdebatan tentang agama Islam dan Kristian di antara beberapa pemuda Islam dan paderi-paderi di sebuah gereja. Bahagian ini meliputi 45 muka surat pertama tetapi apa kena mengena adegan perdebatan ini dengan kisah Qaseh Puteri ini? Memang tidak nampak kaitan lansung.

Oleh itu seperti juga pada buku pertama, apa yang boleh dikatakan ialah garapan cerita buku ini tidak kemas. Terlalu banyak yang ingin disampaikan di dalam sebuah buku novel yang membuatkan semuanya menjadi tergantung dan separuh jalan. Selain dari itu percampuran antara fiksyen dan bukan fiksyen yang tidak dikawal dan tidak dijustifikasi telah menambahkan kekeliruan sahaja.

★★
Buku ke 3, 2014

Sunday, January 26, 2014

僕のとてもわがままな奥さん

2 comments
銀色夏生、2010

Seperti sudah menjadi kemestian dalam diri saya, setiap kali ke Jepun mesti beli sebuah buku untuk dibaca di dalam kapal terbang dalam perjalanan pulang. Dan kali ini, buku ini yang saya beli. (21 Jan 2014, Narita Airport)

僕のとてもわがままな奥さん, iaitu dalam Bahasa Melayu bolehlah diberi tajuk "Isteri ku seorang yang sangat mementingkan diri sendiri" :D

Seperti biasa di waktu begitu saya mahukan buku yang "ringan" iaitu yang senang dibaca dan jalan cerita tidak serius. Lagipun tajuk buku ini menarik perhatian saya. Ia buat saya terfikir..."Agaknya macamanalah isteri dia ni ye? " "aku pun tidak kurang selalu pentingkan diri sendiri...jadi agaknya dia macam aku ke?" hehe :D

Isteri Jun bernama Naomi, seorang yang cantik dan pandai bergaya. Kalau orang tengok mereka berdua, orang mungkin akan berfikir "macamana dia dapat kahwin dengan perempuan cantik macam ni" atau "bertuahnya dia dapat perempuan cantik dan pandai bergaya."

Tetapi orang tidak tahu yang Naomi sangat mementingkan diri sendiri. Dia mahu Jun memanggil dia "Cik Naomi". Dia tidak mahu sebilik dengan Jun. Jadi mereka duduk bilik berasingan dan Jun tidak dibenarkan masuk ke biliknya. Kalau mood dia baik, hidup pun gembira tetapi dengan sebab yang kecil sahaja pun dia akan jadi bad mood, mendiamkan diri atau menjerit histeria atau menangis tidak berhenti atau membaling barang-barang. Kadang-kadang dia mengugut untuk melaporkan Jun kepada polis.

Jun kadang-kadang terfikir kenapa dia mengahwini Naomi. Malah kadang-kadang dia terfikir untuk berpisah. Selalunya dia malas melayan karenah Naomi jadi dia ikutkan sahaja. Dia kadang-kadang rasa lega bila Naomi tiada di rumah. Dia suka keluar sendirian pada hari Ahad kerana rasa lebih lega berseorangan.

Naomi pula merasakan Jun seorang yang lemah. Dia pernah menulis artikel bertajuk "Kisah suamiku yang dayus" dan telah diterbitkan di majalah. Cerita itu sebenarnya telah ditokok tambah menjadi lebih teruk dari sebenarnya. Dia pernah bersemuka dengan Jun bertanya kenapa Jun mengahwininya dan jika Jun mahu berpisah. Tetapi setiap kali juga Jun cuba mengelak dari menjawab.

Jadi, ia kisah isteri yang tegas kepada seorang suami yang lembut hati.

Tetapi walaupun masing-masing tidak berpuashati dengan masing-masing, mereka masih juga bersama bertahun-tahun.

Jadi kenapa mereka masih juga bersama?

Di akhir cerita ini ada babak Naomi yang nyaris mendapat kemalangan sewaktu pergi melancong dengan kawan-kawannya. Berita kemalangan itu ditonton oleh Jun di tv. Jun sangat bimbang jika apa-apa terjadi kepada Naomi tetapi menjadi sangat gembira apabila melihat Naomi selamat. Malah tergelak besar apabila melihat Naomi ditemuduga di TV dan Naomi juga sangat gembira menceritakan tentang suaminya Jun.

Kesimpulan untuk cerita ini ialah, pada pendapat saya, walau mereka tidak puashati dengan pasangan mereka, tetapi mereka juga "tanpa sedar" menyedari yang pasangan mereka itu lah yang "ditakdirkan" untuk mereka. Mereka sebenarnya pasangan yang secocok yang memerlukan satu sama lain. Jun mungkin memerlukan isteri yang begitu untuk "merasai kehidupan" dan begitu juga Naomi.

Mungkin di dunia nyata memang wujud pasangan yang begini kan?

Dan saya membandingkan diri sendiri....dari cerita ini, saya tahu yang saya tidak lah se"teruk" Naomi. Saya tidak lah mementingkan diri sendiri seperti dia. Malah saya lebih sangat baik...hehehe :D

★★★★
Buku ke 2, 2014




Friday, January 24, 2014

Biarawati Qaseh Puteri

0 comments
Moh Dat Molok, 2010

Semasa mencari buku bahasa Melayu di jualan murah BBW tempoh hari, saya terjumpa buku ini. Tertarik kerana di kulit buku ditulis "Novel Perjuangan Islam" dan juga ada ulasan dari seorang ahli akademik berbunyi "Sebuah novel sejarah bangsa Melayu yang mengajak pembaca kembali ke pentas pertembungan antara maruah, keimanan dan jati diri. Melaka kembali bergegar".

Qaseh Puteri adalah seorang gadis melayu yang telah ditangkap dan dihantar ke gereja untuk dijadikan biarawati semasa penjajahan Portugis di Melaka. Pada masa itu, Portugis sedang berusaha memurtadkan ramai orang Islam. Sesiapa yang engkar akan diseksa. Qaseh Puteri, walaupun seorang gadis biasa, dia telah dididik dengan baik dan diberikan ajaran Islam oleh kedua orang tuanya. Dia berusaha menegakkan pendirian dan kepercayaannya kepada Islam walaupun dipaksa menjadi biarawati.

Jalan cerita di atas agak baik tetapi keseluruhan buku ini tidaklah memuaskan. Antara sebabnya adalah, separuh dari cerita adalah mengenai Kerajaan Acheh yang cuba menyelamatkan Melaka dari jajahan Portugis. Kaitan antara Qaseh Puteri dengan kisah rancangan pahwalan Acheh adalah sangat samar. Ini menyebabkan seperti terdapat dua buah cerita "utama" dalam buku ini sedangkan tajuk buku adalah mengenai Qaseh Puteri. Selain dari itu, di penghujung buku, ada pula kisah Kerajaan Jawa yang cuba menyerang Portugis di Melaka. Ini juga sangat samar dan tidak pasti siknifikannya dalam buku ini.

Selain dari itu, saya rasa petikan dari Bible mengenai ayat-ayat membabitkan zina sebanyak 8 mukasurat adalah sangat tidak sesuai untuk ditulis di sebuah novel sebegini. Ia hanya mengundang salah faham kepada pembaca buku. Apa yang ingin disampaikan oleh penulis novel sehingga memetik 38 surah dari bible? Saya hanya membaca sebahagian kecil petikan tersebut kerana tidak faham dengan maksud surah-surah tersebut dan juga kerana tidak faham apa perlunya saya membaca semua petikan itu? Apa pentingnya petikan tersebut untuk memahami jalan cerita di novel ini?

Selain itu, kelemahan novel sebegini adalah tiada ditulis rujukan fakta sejarah dari mana-mana sumber. Rujukan dari bible ditulis dengan jelas, tetapi adakah kisah sejarah ini adalah rekaan semata-mata? Jika ia berdasarkan dari mana-mana serpihan sejarah sepatutnya rujukannya dicatatkan di muka belakang. Sebaliknya jika ia adalah rekaan semata-mata maka hendaklah ia ditulis dengan jelas "kisah ini adalah rekaan semata-mata".

★★
Buku ke 1, 2014



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template