Semasa mencari buku bahasa Melayu di jualan murah BBW tempoh hari, saya terjumpa buku ini. Tertarik kerana di kulit buku ditulis "Novel Perjuangan Islam" dan juga ada ulasan dari seorang ahli akademik berbunyi "Sebuah novel sejarah bangsa Melayu yang mengajak pembaca kembali ke pentas pertembungan antara maruah, keimanan dan jati diri. Melaka kembali bergegar".
Qaseh Puteri adalah seorang gadis melayu yang telah ditangkap dan dihantar ke gereja untuk dijadikan biarawati semasa penjajahan Portugis di Melaka. Pada masa itu, Portugis sedang berusaha memurtadkan ramai orang Islam. Sesiapa yang engkar akan diseksa. Qaseh Puteri, walaupun seorang gadis biasa, dia telah dididik dengan baik dan diberikan ajaran Islam oleh kedua orang tuanya. Dia berusaha menegakkan pendirian dan kepercayaannya kepada Islam walaupun dipaksa menjadi biarawati.Jalan cerita di atas agak baik tetapi keseluruhan buku ini tidaklah memuaskan. Antara sebabnya adalah, separuh dari cerita adalah mengenai Kerajaan Acheh yang cuba menyelamatkan Melaka dari jajahan Portugis. Kaitan antara Qaseh Puteri dengan kisah rancangan pahwalan Acheh adalah sangat samar. Ini menyebabkan seperti terdapat dua buah cerita "utama" dalam buku ini sedangkan tajuk buku adalah mengenai Qaseh Puteri. Selain dari itu, di penghujung buku, ada pula kisah Kerajaan Jawa yang cuba menyerang Portugis di Melaka. Ini juga sangat samar dan tidak pasti siknifikannya dalam buku ini.
Selain dari itu, saya rasa petikan dari Bible mengenai ayat-ayat membabitkan zina sebanyak 8 mukasurat adalah sangat tidak sesuai untuk ditulis di sebuah novel sebegini. Ia hanya mengundang salah faham kepada pembaca buku. Apa yang ingin disampaikan oleh penulis novel sehingga memetik 38 surah dari bible? Saya hanya membaca sebahagian kecil petikan tersebut kerana tidak faham dengan maksud surah-surah tersebut dan juga kerana tidak faham apa perlunya saya membaca semua petikan itu? Apa pentingnya petikan tersebut untuk memahami jalan cerita di novel ini?
Selain itu, kelemahan novel sebegini adalah tiada ditulis rujukan fakta sejarah dari mana-mana sumber. Rujukan dari bible ditulis dengan jelas, tetapi adakah kisah sejarah ini adalah rekaan semata-mata? Jika ia berdasarkan dari mana-mana serpihan sejarah sepatutnya rujukannya dicatatkan di muka belakang. Sebaliknya jika ia adalah rekaan semata-mata maka hendaklah ia ditulis dengan jelas "kisah ini adalah rekaan semata-mata".
★★
Buku ke 1, 2014
0 comments:
Post a Comment