Tuesday, December 31, 2013

Sok Sek hujung tahun akhir

0 comments
baru nak ber sok sek tapi dah pun 31 hb
mujur juge hujung tahun baru nak ber sok sek
kalau tak agaknya tiap hari saya ber sok sek
hehe

beberapa hari ni memang batuk kaw-kaw
sampai sakit kepala, sakit belakang dan asyik nak terk**c***
(apa pasal guna ** ni? hahaha)
jadi pegi jumpa doktor
cakap itu ini dan perkataan doktor yang ini yang memang saya ingat sangat
"try to control you cough by swallowing your saliva or drinking water"

Try to control your cough

oh, selama ini saya ingat kalau kita rasa nak terbatuk lebih baik kita lepaskan
makin kita lepaskan makin lega...

ye memang kalau makin lepaskan makin lega
tetapi dengan itu juga
kita jadi sakit kepala sebab banyak guna tenaga
dan kali ini jadi sakit belakang
juga sebab bagi tekanan pada bahagian belakang setiap kali batuk
dan juga kali ini asyik nak terk**c***
susahnye asyik nak ke bilik air

jadi supaya tidak memberi tekanan kepada bahagian badan yang lain
kita mesti cuba kawal batuk kita

ok, thanks doc
saya akan cuba
oh, saya sedang mencuba

nak bagitau juga yang beberapa hari ini suara hilang
kelas semalam mula-mula tu memang tak de suara
sampai student kata tak apa kalau nak tukar ke hari lain
saya tak mau tukar sebab dah rancang cuti dua minggu lagi
lagipun bukan la sakit teruk sangat
dan lagipun semalam saya buat aktiviti tulis kad tahun baru Jepun "nengajou" dalam kelas
jadi ok la....kot

sekarang pun suara serak-serak basah orang kata
tapi alhamdulillah kelas pagi tadi dapat buat juga sebab at least keluar suara kalau banding semalam

ok, tahun ini...
tahun ini juga bukanlah tahun yang cemerlang gemilang kepada saya
tapi tiada apa yang nak disesalkan
makan pakai cukup
kasih sayang pun cukup
kesihatan alhamdulillah
ujian-ujian kecil itu ada la tapi itu tanda Tuhan masih sayang
Dia nak kita beringat dan bersyukur

memang betul
malam tadi masa nak tidur memang terfikir
aku ni baru Tuhan bagi sakit sikit
baru beberapa malam aje tidur terganggu
bagaimana dengan orang yang bukan setakat beberapa malam tapi tiap hari tiap malam?
bagaimana orang yang kena menahan sakit pada tiap malam?
Subhanallah....

jadi jagalah kesihatan dan insaflah
beringatlah, bersyukurlah dan beribadatlah
suatu masa bila badan sudah semakin uzur
mungkin akan datang sakit yang berterusan
bagaimana kau nak menghadapinya?
Subhanallah....


ok, baru teringat ada sesuatu yang penting yang kena buat dalam tahun ini juga tapi tak buat lagi
haih apa la...

jadi, nak tutup sok sek hujung tahun ku

kesimpulan tahun 2013?

makin gemuk
makin tua
makin malas

itu yang negatif

yang positif?
adalah sikit tapi tak payah la tulis nanti riak pulak kan hehe

tapi

sesuatu untuk difikirkan:

cukupkah dengan apa yang kau ada sekarang?


Monday, December 30, 2013

Weil China

0 comments
Emine Syenlikhoghu, 2010
(Terjemahan oleh Mohd Rofizi bin Dollah)


Kisah benar pada zaman kebangkitan komunis di China, anak muda beragama Islam terpengaruh dengan fahaman komunis dan atheis sehingga sanggup menganiaya, menyiksa, membunuh secara kejam sesama Islam malah kaum keluarga, ibu bapa serta adik-beradik malah bayi-bayi kecil.

Qan dan abangnya Turqhut, pemuda belasan tahun berketurunan Turki dari Turkistan dihantar belajar ke bandar oleh bapa mereka. Walaupun sangat risau jika anak-anaknya terpengaruh dengan fahaman komunis dan athies yang berleluasa pada masa itu, dia merelakan pemergian mereka ke bandar demi masa depan mereka. Sebelum pergi berkali-kali dia mengingatkan mereka supaya menjaga diri, bangsa dan agama mereka.

Semasa di sekolah Qan dan Turghut tidak menyedari yang mereka telah dihasut secara halus oleh guru-guru sekolah sehingga mereka akhirnya mempunyai perasaan benci kepada ibu bapa dan keluarga mereka sendiri. Mereka merasakan ibu bapa mereka kuno dan kolot kerana menganut dan mengamalkan ajaran Islam. Mereka akhirnya menyertai komunis dan bersama-sama menghapuskan bangsa mereka sendiri yang menganut agama Islam.

Bagaimana kisah selanjutnya?
Apa yang terjadi kepada keluarga mereka?
Adakah mereka sendiri yang membunuh keluarga mereka?

****************

Mungkin disebabkan buku ini adalah hasil terjemahan, jadi adakalanya penggunaan bahasa agak kurang sesuai dan olahan ayat terasa sedikit kaku. Namun kita dapat menyelami dan merasai kekejaman komunis, keperitan umat Islam pada masa itu.

Ini bukan kisah rekaan tetapi hasil pengalaman sebenar Qan, bekas komunis yang sedar tentang kesalahannya tetapi telah terlambat. Abangnya sendiri yang melaporkan mengenai dia dan keluarga mereka kepada komunis sehingga dia ditangkap, diseksa dan dipenjara berpuluh tahun. Malah keluarganya diseksa dan dibunuh di depan matanya sendiri. Bagaimana fahaman komunis dan athies menjadikan abangnya manusia kejam yang menganiaya keluarga sendiri.

"apabila fahaman ateis bercampur dengan fahaman kebendaan dalam hati seseorang, saudara kandung pun sanggup melapah saudaranya sendiri dalam keadaan menyanyi riang"

******************

Dari buku ini kita dapat mengetahui serba sedikit tentang gerakan komunis dan athies pada masa itu terutamanya di negara China. Jenis-jenis penyeksaan yang mereka laksanakan untuk memaksa umat Islam menukar akidah dan memuja Mao. Kita juga dapat tahu bagaimana sesuatu fitnah dapat mengubah pendirian sesama bangsa dan seagama. Fitnah mengenai seorang imam yang bersekongkol dengan pihak Rusia telah menyebabkan imam itu diludah dan diseksa oleh orang-orang yang sebelum itu adalah makmum-makmumnya.

Kita juga dapat mempelajari sejarah dari kisah ini. Saya merasa pelik kerana ia kisah bangsa Turki yang tinggal di Turkistan tetapi negara Turki sekarang ini terletak nun jauh di berhampiran benua Eropah. Jadi kisah ini membuatkan saya menggoogle sejarah sedikit.

Turkistan adalah sebuah wilayah yang dihuni oleh bangsa Turki. Turkistan (Turkestan) bermaksud "Land of Turks". Pada zaman kebangkitan komunis, ia telah tergadai kepada Cina dan Rusia sehingga dibahagi kepada Turkistan Timur dan Barat. Pada masa ini ia adalah sebuah wilayah di negara Kazakhstan. Rakyat Turkistan yang berhijrah telah membentuk negara Turki yang ada sekarang.


Pengarang asal buku, Emine atau Aminah Uzqan Syenlikoghu adalah penulis terkemuka Turki yang dilahirkan pada 1953 di bandar Istanbul. Beliau sempat melalui zaman-zaman perubahan Turki. Beliau bergiat cergas dalam kegiatan Islam dan kesusasteraan antarabangsa. Beliau banyak menghasilkan karya bermutu dan dipenjara beberapa kali kerana karya-karyanya. (sumber:http://www.goodreads.com/book/show/7314968-weil-china)



 ★★★★
Buku ke 26, 2013



Friday, December 27, 2013

sok sek hujung tahun 1 (amaran: kudaranai desu)

3 comments
beberapa hari ni tak sihat
batuk kaw-kaw terutamanya waktu malam
memang perit waktu nak tidur
sampai sakit kepala
ambik ubat batuk, minum vitamin C, ambik pain killer
alhamdulillah boleh tidur
bangun pagi ok
pegi kerja ok
balik kerja mula seram sejuk dan batuk-batuk kaw-kaw lagi

baca blog sana-sini dan baca komen-komen orang
bila baca komen-komen memang terasa macam-macam ragam manusia di dunia
walau sentiasa ada yang cakap baik-baik, ramai juga yang cakap lepas-lepas
walau ramai juga yang sentiasa pandang positif tapi tak kurang juga yang asyik negatif aje

sama macam bila baca post-post orang share di fb
terutamanya yang isu-isu sensitif politik, perkauman, keagamaan...
memang macam-macam jenis komen
geleng-geleng kepala baca beberapa minit
lepas tu baru sedar
bodohnya diri sendiri membaca komen-komen semua tu
sumber-sumber tu pun entah benar atau tidak
sahih atau tidak


ok sok-sek hujung tahun berhenti kejap

kepala ku pening
perut ku lapar

hehe


Monday, December 16, 2013

Pesona Sandora

4 comments
Ruhani Mat Darin, 2010

Buku RM5 yang dibeli di BBW sale baru-baru ini tidaklah menghampakan. Malah boleh dikatakan penulisan agak mantap dan jalan cerita juga agak menarik.

Kisah 2 orang guru pelatih, Dalila dan Saniah, yang dihantar ke sebuah provinsi bernama Sandora yang terletak di sebuah kawasan pedalaman dan jauh dari bandar. Sesampainya mereka di sana, mereka telah ditempatkan di sebuah rumah papan yang usang. Dalila seorang anak kota yang tidak biasa tinggal di desa, digambarkan sebagai seorang yang manja. Sementara Saniah pula lebih lasak dan berani. Keadaan rumah dan juga provinsi tersebut membuatkan Dalila ingin berhenti dan pulang ke kota sebaik sahaja menjejakkan kaki di rumah itu, tetapi Saniah pula sudah menjadi teruja dengan suasana di situ.

Bagaimanapun, mereka berdua tidak mengetahui yang selain mereka, ada 2 lagi makhluk lain yang juga "mendiami" kawasan sekitar rumah mereka.

Di sekolah pula, berlaku kejadian histeria di kalangan pelajar; Ada seorang pelajar perempuan yang hilang sejak lari ke arah hutan; Juga, kisah kematian misteri salah seorang guru; Juga tiba-tiba banyak belangkas muncul di provinsi itu.

Siapakah 2 makhluk tersebut?
Apa yang telah terjadi kepada pelajar perempuan yang hilang itu?
Kenapa kematian guru tersebut dianggap misteri?
Kenapa tiba-tiba muncul banyak belangkas?
Apa yang sedang berlaku di provinsi itu?

Ada misteri yang "sampai" kepada pembaca, ada gimik yang boleh dikira berjaya, ada
perubahan jalan cerita yang tidak disangka.

★★★★
Buku ke 25, 2013

yeah! dah berjaya capai 25 buku!!! :D








Tuesday, December 10, 2013

Suami Aku Ustaz

4 comments
Hannah Dhaniyah, 2013 (Cetakan ke 13)

Tahun 2013 akan berakhir beberapa minggu sahaja lagi dan saya masih perlu baca 2 buah buku untuk memenuhi azam 25 buah buku setahun. Jadi pada waktu-waktu "desperate" begini terfikir lah nak baca buku Bahasa Melayu sebab buku Bahasa Melayu mesti boleh dibaca sehari dua sahaja. Mengelat kan? hehe

Anyway, semasa berjalan-jalan dengan anak saudara di kedai buku Popular pada hari Rabu lepas, saya ternampak buku ini. Actually mata saya tertumpu kepada Nora Danish yang comel memakai baju sekolah dan bertudung ala-ala budak sekolah. Nora Danish memang baby face, bila pakai macam tu memang nampak muda....dan juga mata terjeling lelaki di sebelah dia, berbadan tegap dan memakai songkok. "oit hensem juga mat ini, mesti dia yang pegang watak ustaz".(huhu ;P)

yang saya beli di cover ada gambar Nora Danish dan dua orang lelaki.
"kak, best tak buku ni?" tanya saya kepada anak saudara, Fatin yang berumur 19 tahun yang kami panggil akak. Dia pun penggemar novel seperti saya cuma dia dan adik-beradik perempuannya lagi hebat. Mereka penonton tegar segala drama Melayu ke, korea ke, Indon ke, yang ditayang di TV.  Pengaruh mereka sungguh kuat sehingga saya pun ikut tertengok drama Melayu dan Korea sepanjang seminggu mereka berada di rumah saya. Saya pun ikut terjelepuk di hadapan tv pukul 7 malam tengok "Playboy itu suamiku". Oh My!

Setelah seminggu terjangkit aktiviti mereka, pada hari mereka pulang ke Pekan Khamis lalu, saya rasa sunyi betul apabila pulang ke rumah selepas kerja. Senyap sunyi aje rumah. Tambahan pula suami pun masih berada di luar negara pada masa itu. Tanpa disedari tangan mencapai remote control TV dan menukar siaran ke TV3 pada pukul 7 malam. Dan saya mendapati diri ku ini menonton "Playboy itu suamiku" seorang diri....Apa kena kau? Hahaha!

Mujur jangkitan penyakit drama tidak lama dan esoknya saya pun dah lupa...suami pun dah balik...kembali ke kehidupan asal....

Ini nak cerita pasal novel kau baca ke apa? :P

************************

Ok, habis baca buku ini dalam masa 2 hari sahaja.

Ok lah tipu.

3 hari rasanya.

Malam pertama tu memang menarik sehingga tanpa disedari hampir pukul 1 pagi. Dan esoknya saya bawa ke tempat kerja dan curi-curi baca bawah meja. "kalau tiba-tiba orang masuk bilik ni malu....apa kau buat baca novel ada gambar Nora Danish pulak tu kat tempat kerja." Jadi ada lah baca beberapa muka surat aje sebab malu sendiri. hehe.

Malam itu sambung lagi membaca tetapi....rentak sudah tidak seganas semalam. Kalau lukis graf tu kiranya malam tadi graf menaik tinggi tetapi malam kedua dan hari berikutnya graf semakin menurun dan menurun. Sehingga nyaris mencapai titik negatif.

Kenapa pula macam tu?

************************

Cerita mengisahkan Alisa, pelajar tingkatan 5 yang baru sahaja habis trial SPM, tiba-tiba disuruh berkahwin oleh kedua ibu bapanya sebelum mereka berangkat untuk menunaikan haji. Alisa ini digambarkan sebagai gadis agak nakal.

Dia ni anak tunggal dan kedua ibu bapanya bekerja dan selalu pulang lewat. Jadi dia banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan terutama dua kawan lelakinya, lepak-lepak di kedai makan sampai lewat malam atau sehingga menjelang pagi. Itu ajelah kenakalan dia sebenarnya tetapi memandangkan dia anak dara, ibu bapanya menjadi sangat risau lebih-lebih lagi untuk meninggalkan dia selama sebulan lebih.

Oleh itu pada satu hari mereka menyatakan yang Alisa akan dikahwinkan dengan Abang Hafiz, abang sepupunya yang juga kebetulan ustaz di sekolahnya!

Jadi di sini jalan cerita amat menarik. Alisa yang walau nakal tetapi naif dan tidak pernah mempunyai teman lelaki. Bagaimana tiba-tiba dia mesti berkahwin dengan ustaz sekolahnya?

Jalan cerita sangat menarik sepanjang kisah sebelum dan selepas berkahwin, semasa dia masih lagi di alam persekolahan. Olahan cerita dan penggunaan perkataan, serta watak Alisa digambarkan dengan sangat baik. Nakal tetapi naif tetapi comel dan yang penting tidak mengada-ngada.

Cuma jalan cerita menjadi kurang menarik selepas Alisa melanjutkan pengajian ke universiti. Dia banyak berubah, maklumlah telah menjadi isteri kepada ustaz dan telah lebih banyak pengetahuan agama. Baguslah macam ni kan?

Memang bagus jika ia di dunia sebenarnya tetapi ini bukan kisah sebenar sebaliknya di alam penulisan. Jadi saya rasa ia agak mendatar dan bosan. Ia menjadi kisah kehidupan biasa yang kita dapat jumpa di mana-mana. Tambahan pula selepas itu, ada kisah mereka mengambil anak angkat dan mula menjadi ibu bapa. Dan Alisa sendiri mengandung anak pertama setelah dia tamat belajar.... apa yang luarbiasa? cuma kisah biasa....tiada lagi kaitan atau kejutan untuk tajuk "Suami Aku Ustaz" kerana cuma ada kisah biasa kehidupan suami isteri.

Oleh itu, pada keakhiran cerita saya beberapa kali melangkau muka surat. Tiada lagi keseronokan membaca, tidak seperti malam pertama itu.

Pada pendapat saya, penulis sepatutnya menghabiskan cerita di sekitar majlis perkahwinan mereka di mana akhirnya semua orang tahu yang mereka telah berkahwin beberapa bulan sebelumnya. Habiskan pada saat manis dan teruja dan biarkan pembaca tertanya-tanya apakah yang terjadi seterusnya. Biar pembaca "membuat" cerita sendiri dalam kepala mereka kerana lebih "sweet" begitu. Atau penulis boleh melanjutkan cerita jika cerita selepas itu juga ada elemen teruja.

Walau cerita mungkin dianggap bagus oleh pengemar novel Melayu sehingga ia diangkat ke pawagam, tetapi saya tidak berpendapat begitu. Terasa rugi dan malang kerana keterujaan saya padam di pertengahan sehingga akhir.


★★★
Buku ke 24, 2013



Sunday, December 1, 2013

The Last Resort - A memoir of Zimbabwe

1 comments
Douglas Rogers, 2010

Satu lagi buku memoir yang sangat menarik.

Douglas Rogers adalah penulis kulit putih berusia 30-an yang dilahirkan dan dibesarkan di Zimbabwe. Dia adalah seorang jurnalis yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat tetapi ibu bapanya yang juga kelahiran Zimbabwe, masih lagi warga negara Zimbabwe dan masih menetap di sana. Bapanya ada peguam bersara yang mengusahakan sebuah pusat peranginan untuk pengembara (backpacker resort).

Cerita dimulakan dengan penulis yang semasa itu berada di Berlin pada tahun 2000, mendapat berita yang seorang peladang kulit putih telah dibunuh di Zimbabwe. Ia pembunuhan pertama peladang kulit putih semenjak kerajaan Zimbabwe di bawah pemerintahan Presiden Robert Mugabe mengancam untuk merampas kesemua tanah hak milik seramai 4,500 orang peladang kulit putih di Zimbabwe.

Pada masa itu kumpulan lelaki bersenjata yang dikatakan bekas tentera peperangan liberasi yang berjaya menuntut kemerdekaan dari pemerintahan kulit putih kira-kira dua puluh tahun sebelum itu, telah membuat berbagai gangguan di ladang-ladang kepunyaan peladang kulit putih. Peladang yang telah dibunuh itu telah dibelasah teruk serta ditembak dari jarak dekat setelah diculik dari ladangnya yang terletak lebih kurang sejam perjalanan dari rumah ibu bapa penulis.

Kejadian ini telah membuatkan penulis memikirkan tentang nasib ibu bapanya dan mula mengikuti perkembangan di negara kelahirannya.

***************

Dari penceritaan penulis ini, saya dapat mengetahui tentang pergolakan Zimbabwe sekitar 2000-2010 serta serba-sedikit sejarah negara tersebut; ladang-ladang kepunyaan kulit putih telah dirampas dan peladang telah disiksa atau dibunuh. Ladang-ladang itu kemudiannya diberikan kepada pembesar atau ahli politik di kalangan kulit hitam atau rakyat kulit hitam yang memohon. Perkara ini telah mempengaruhi ekonomi Zimbabwe kerana ladang-ladang yang selama itu menghasilkan produk ekspot telah dirosakkan dan peladang-peladang "baru" dari kalangan kulit hitam pula kebanyakannya tidak tahu berladang atau tidak berminat untuk menguruskan ladang. Ia juga telah menyebabkan beribu pekerja ladang dari kalangan kulit hitam telah hilang pekerjaan dan mengakibatkan kadar pengangguran yang tinggi.

Pergolakan politik antara parti pemerintah, Zimbabwe African National Union - Patriotic Front (ZANU-PF) dan pembangkang, Movement of Democratic Change (MDC) juga menjadi penyebab kekacauan di dalam negara. Warga negara yang didapati menyokong MDC akan ditangkap dan disiksa oleh kumpulan veteran perang liberalis. Pilihanraya pada 2002 juga dikatakan telah disabotaj oleh pemerintah. Keadaan menjadi genting dan rakyat berada dalam ketakutan. Kekecohan semakin teruk pada pilihanraya 2008 di mana berpuluh ahli MDC telah disiksa dan dibunuh.

Kekecohan telah menyebabkan mata wang jatuh teruk di mana, kadar Z$1 yang boleh membeli 50 sen US semasa ekonomi memberangsangkan suatu ketika dulu, semakin jatuh dan jatuh sehingga pada suatu ketika sekitar 2007, kadar inflasi jatuh 10,000 peratus. Pada tahun 2005, kerajaan memperkenalkan mata wang Z$100 trilion (15 kosong) dan pengedar mata wang gelap membeli 1 dolar US pada kadar Z$1 milion pada 2007.

****************
Oh, banyak yang saya rasa nak cerita tapi eloklah saya berbalik kepada cerita ibu bapa penulis.

Pada satu ketika semasa penulis pulang ke rumah ibu bapanya, dia terperanjat melihat pusat peranginan ibu bapanya telah bertukar menjadi pusat kegiatan pelacuran setelah pusat tersebut terpaksa ditutup kerana tiada lagi pelancong yang datang disebabkan kekecohan politik dan ketidakstabilan ekonomi serta keamanan negara pada ketika itu. Seorang bangsa kulit hitam telah menyewa bar di resort tersebut dan ia menjadi terkenal di kalangan orang-orang kaya serta ahli politik kulit hitam di bandar kerana resort tersebut terletak di kawasan yang tersorok. Mereka-mereka ini membawa teman wanita mereka dan menyewa chalet di resort tersebut.

Pada ketika yang lain, penulis terperanjat setelah mendapati bapanya menanam marijuana di kawasan peranginan mereka, sebagai salah satu cara menambah pendapatan. Pada ketika yang lain, setelah berlian dijumpai di Zimbabwe, resort tersebut menjadi tumpuan penyeludup berlian yang terdiri dari anak-anak muda yang menjadi kaya dengan sekelip mata. Pada ketika barang makanan susah didapati, anak-anak muda ini sanggup membayar Z$1 milion untuk segelas beer di bar di resort tersebut.

Berbagai kesusahan serta cabaran kehidupan ditempuhi oleh ibu bapanya untuk meneruskan hidup di negara kelahiran mereka. Kemuncak cerita adalah bila mana tanah mereka juga telah dirampas oleh kerajaan dan sekumpulan veteran perang mendatangi rumah ibu bapanya bersama senjata. Ibu bapanya yang berumur 70-an pada ketika itu, tidak sempat melarikan diri dan telah ditahan oleh veteran perang tersebut. Dua orang pekerja setia mereka telah dipukul dan disiksa. Walau bagaimana pun, mereka diselamatkan oleh Tendai, penyewa bar mereka pada waktu itu kerana Tendai adalah anak saudara kepada seorang menteri yang dikenali sebagai Top Man.

Kisah yang disampaikan adalah kisah pergolakan, peperangan, penindasan, penyiksaan rakyat Zimbabwe dari kalangan kulit putih serta rakyat biasa kulit hitam. Tetapi penulis berjaya menyampaikan cerita dengan cara bersahaja yang membuatkan kita boleh tersenyum sendiri atau tertawa, terutamanya semasa menceritakan kisah kehidupan ibu bapa nya.

*********************

Banyak sebenarnya yang saya nak tulis. Itu menggambarkan betapa buku ini memberi impak kepada saya. Selepas baca saya menggoogle penulis dan menjumpai page ini: http://www.douglasrogers.org/books.html

Di sini ada dimuatkan gambar-gambar orang yang disebut di dalam buku seperti ibu bapa penulis,  2 orang pekerja setia mereka, 2 orang penyewa bar yang membawa perubahan dalam kehidupan ibu bapanya, serta gambar pengedar haram berlian pun ada. Puas hati dapat melihat rupa orang-orang yang terlibat serta dapat melihat pemandangan di resort tersebut setelah hanya membayangkannya semasa pembacaan.

**********************

Saya memang suka membaca memoir. Buku ini saya beli setahun lepas semasa jualan murah Big Bad Wolf, RM8 sahaja. Jualan murah ini akan diadakan lagi pada hujung minggu ini dan saya pasti akan mencari lagi buku-buku memoir nanti. Tanoshimi  :)

★★★★★
Buku ke 23, 2013

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template