Tuesday, January 1, 2013

2012年度の「勝手にランキング」

7 comments
Alhamdulillah, I have managed to fulfill my 2012's resolution - to read 25 books a year!
Well, I read 26 books actually :)

 So here is my 2012's ranking;


1. Sunan MusafirRamlee Awang Murshid, 2012
    Buku terakhir epik Laksamana Sunan. Laksamana Sunan telah tua, mempunyai isteri dan anak lelaki tetapi musuh dari kalangan syaitan tetap mengekorinya. Buku ini adalah penutup kisah Laksamana Sunan yang telah diterbitkan sebanyak 5 siri sebelum itu. Saya mengalirkan airmata beberapa kali semasa membaca buku ini. 


2. RoomEmma Donoghue, 2010
    Kisah dua beranak - ibu dan anak lelakinya yang telah dikurung di dalam sebuah bilik bertahun-tahun lamanya. Malah anak lelakinya itu telah dilahirkan di bilik tersebut dan tidak pernah tahu tentang kewujudan dunia luar. Kisah bagaimana mereka merancang untuk melepaskan diri, kehidupan setelah berjaya melepaskan diri dan cuba menyesuaikan diri dengan dunia luar. Penceritaan yang sangat berkesan. Juga kisah sebegitu bukan rekaan semata-mata, ia sebenarnya berdasarkan dari kes-kes seumpamanya yang berlaku di luar sana. 


3. 1515Faisal Tehrani, 2003
    Kisah sejarah Melaka semasa dijajah Portugis. Penulis membuatkan kita berfikir samada adakah benar   Melaka telah dijajah Portugis pada suatu masa lalu? Sejauh manakah sejarah yang kita pelajari itu benar-benar berlaku atau adakah ia hasil manipulasi sesuatu pihak? Sebuah buku yang sangat bermutu dan membuatkan kita teruja untuk mempelajari sejarah.


4. 差別と貧困の外国人労働者(ルポ)Yasuda Koichi, 2010
    Laporan mengenai buruh asing di Jepun. Kehidupan dan kesusahan yang mereka alami semata-mata mencari rezeki di negara maju. Laporan bertumpu kepada buruh dari China yang bekerja di perusahaan di Jepun sebagai "pelajar kursus" dan juga kisah warganegara Brazil yang berketurunan Jepun yang bersusah-payah di negara asal datuk nenek mereka. 


5. The Lovely BonesAlice Sebold, 2002
   Kisah seorang gadis menyaksikan perubahan yang berlaku kepada keluarganya dari 'syurga' setelah dia mati dibunuh dengan kejam oleh jirannya sendiri. Sedih kerana pembunuh berada terlalu dekat tetapi tiada siapapun yang menyedarinya.


6. The Dulang WasherPaul Callan, 2011
    Kisah epik cinta, keberanian dan rahsia. Kisah kehidupan pelombong bijih timah di Lembah Kinta pada 1890. Aisha, seorang wanita melayu yang bekerja sebagai pendulang timah. Fook Sin, pemilik bersama lombong (dengan seorang Inggeris)  yang tidak berhati perut. Donald Redfern, seorang Inggeris yang menjadi penyelia lombong dan juga Hun Yee, seorang pemuda Cina yang kuat semangat dan baik hati. Membaca buku ini memberi kita sedikit pengetahuan tentang perlombongan bijih timah pada zaman itu.


7. Rimba HarapanKeris Mas, Edisi DBP 2008, (cetakan pertama pada 1986)
    Novel sastera Melayu yang menceritakan tentang kehidupan orang Melayu di Bentong Pahang sekitar 20-an & 30-an. Bagaimana ramai antara mereka terpaksa melepaskan tanah keturunan kerana keadaan yang memaksa. Selepas itu terpaksa bersusah payah membuka hutan belantara di atas bukit - Janda Baik supaya hidup dapat diteruskan. Penceritaan yang sangat baik - membuatkan saya terkenang asal-usul sendiri - kita orang Melayu.


8. Ombak RinduFauziah Ashari, 2002
    Kisah seorang gadis melayu yang dijual oleh bapa saudaranya untuk dijadikan pelacur. Dia bagaimanapun berjaya memujuk seorang lelaki untuk memperisterikannya supaya dia selamat dari dosa. Jalan cerita dan penceritaan yang menarik.


9. もう誘拐なんてしないHigashigawa Tokuya, 2010
    Cerita lawak tentang dua yakuza yang lurus dan bodoh, seorang anak gadis ketua yakuza yang cuba melarikan diri dan seorang pemuda yang baikhati yang cuba menyelamatkan gadis tersebut. Cerita yakuza yang lawak memang sangat menghiburkan.


10. Inspector Singh Investigates: A Most Peculiar Malaysia MurderShamini Flint, 2008
     Kisah seorang inspektor yang menyiasat kes pembunuhan di Kuala Lumpur. Inspektor Singh yang dihantar oleh polis Singapura ini digambarkan sebagai seorang yang comot dan buncit dan akan bersara tidak berapa lama lagi. Dia bukan lah seorang yang diharapkan untuk menyelesaikan kes tersebut. Kisah polis Singapura menyiasat kes pembunuhan di Malaysia ini menarik perhatian saya kerana berlatar belakangkan negara Malaysia - politik, polis, kehidupan di Malaysia. 


Buku-buku top 10 memang terbaik dan disyorkan untuk anda di luar sana. :)


Seterusnya ranking ke 11 - 26.

11. The ClientJohn Grisham, 1993
12. Sleeping ArrangementMadeleine Wickham, 2001
13. Theodore Boone: The AbductionJohn Grisham, 2011
14. 佐賀のがばいばあちゃん島田洋七、2004
15. Don't You Forget About MeAlexandra Potter, 2012

16. Bukan Cinta MonyetHasliza Ismail, 2011
17. The ConfessionJohn Grisham, 2010
18. Jangan Kelentong Lagi Kita Semua Orang MalaysiaKee Thuan Chye, 2012
19. 西の魔女が死んだ梨木香歩、1994年
20. As I Was PassingAdibah Amin, 2007

21. NoorahUmmu Hani Abu Hassan, 2011
22. LicikSham Hashim & Julie Anne, 2012
23. The Wedding GirlMadeline Wickham @ Sophie Kinsella, 1999
24. Pahlawan AdamusSilsoh Khairol, 2010
25. Akan Ku TungguSania Yasmin, 2011

26.Me and Mr DarcyAlexandra Potter, 2007
     

* Buku ditulis dalam Bahasa Melayu - 10 buah.
* Books written in English - 12 books.
* 日本語で書かれた本 - 4冊

Sekian ranking untuk 2012.

Semoga tahun 2013 juga Dia memberi saya peluang untuk menikmati hobi kesukaan saya sebab saya ada banyak buku yang sedang menanti!!!!

Oh, dan saya juga telah membeli buku 「まほろ駅前 多田便利軒」 di airport Narita semalam.Drama berdasarkan novel ini akan ditayangkan pada Januari ini. Sudah mula baca dari dalam kapal terbang semalam dan ia memang best!!! :)


SELAMAT TAHUN BARU KEPADA PEMBACA SETIA BLOG SAYA INI.

SEMOGA TAHUN INI AKAN MEMBERI ANDA LEBIH KEBAHAGIAAN DARI SEBELUMNYA.

Wednesday, December 26, 2012

Me and Mr Darcy

0 comments
Alexandra Potter, 2007

Buku harga RM8 yang saya beli di pesta buku BIG BAD WOLF baru-baru ini. Beberapa bulan lepas saya ada beli buku tajuk lain dari penulis yang sama, tetapi harganya RM30++ di MPH. RM30++ boleh beli 4 buah buku di pesta buku BIG BAD WOLF! Mungkin saya tidak akan ke MPH lagi.....

Buku Chick-Lit, kisah Emily, seorang pengurus di kedai buku yang sangat menyukai novel "Pride & Prejudice" tulisan Jane Austen (Saya belum pernah baca novel ini dan tidak juga pernah menonton movie adaptasinya tetapi saya tahu novel epik ini memang terkenal) dan menggilai watak hero di novel tersebut, Mr Darcy. 

Pada satu hari Emily menjumpai iklan lawatan ke tempat sejarah yang ada kaitan dengan Jane Austen. Disebabkan dia terlalu suka kepada pengarang tersebut dan menggilai watak hero Mr Darcy juga tiada tempat untuk dituju untuk menghabiskan cuti hujung tahun, dia akhirnya membuat tempahan menyertai lawatan tersebut.

Kisah mencari cinta fantasi dan realiti. 

Kisah ringan dan secara jujur, kurang kualitinya. Pengarang ingin mewujudkan watak perempuan seperti watak dalam novel karya Sophie Kinsella tetapi tidak berjaya. Nampak tidak kena dan terlebih-lebih atau macam tidak sempurna pembentukan watak itu, atau mungkin juga cara penceritaan yang tidak mantap. Pada saya, kalau novel Chick-Lit, tiada siapa boleh kalahkan Sophie Kinsella lagi. Sayang betul saya sudah ada/baca semua novel Sophie Kinsella yang saya jumpa di pesta buku....


★★
Buku ke 26, 2012


Wednesday, December 19, 2012

Apabila ketakutan menguasai

4 comments
Baru-baru ini saya menonton video orang mencuri beg tangan dari kerusi sebelah pemandu kereta. Kesian tengok pemandu yang terperanjat sebab barang hilang sekelip mata. Pencuri buka pintu, capai beg dan terus lari dengan rakan yang sedang menunggu di motor.

Cepatnya. Senangnya.

Keesokan harinya tengok pula video orang curi kereta. Dia ikat 3 biji tin kosong di belakang kereta dan tunggu tidak jauh dari situ sehingga pemandu datang. Pemandu datang, masuk dalam kereta, pasang enjin dan mula bergerak. Tetapi tiba-tiba dia berhenti dan keluar dari kereta. Sudah tentu lah disebabkan bunyi bising di belakang kereta. Bunyi tin kosong memang kuat. Sudah tentu pemandu risau jika ada kerosakan di belakang kereta.

Reaksi spontan, buka pintu (tidak tutup pintu semula dan enjin masih berjalan) dan terus menjenguk ke belakang kereta tanpa menyedari seorang lelaki berlari masuk ke dalam kereta, tutup pintu dan terus memandu pergi.

Cepatnya. Senangnya.


Dua-dua mangsa adalah wanita.

Wanita pertama hilang segala isi beg.

Wanita kedua, bukan sahaja kereta, tetapi segala yang berada di dalam kereta. Dia jadi sehelai sepinggang sahaja.

Memang gerun. Sakit hati. Tetapi sememangnya gerun.

Saya memang mengamalkan masuk kereta terus sahaja kunci. Tetapi siapa tahu kalau satu hari nanti saya terlalai?

Saya boleh faham reaksi spontan pemandu kereta yang dicuri tu. Mungkin saya pun akan bertindak spontan begitu. Keluar untuk tengok belakang. Oh, memang ngeri bila terfikir.

Tidak selamatkah lagi dunia ini? Ramainya manusia yang jahat.

Sekarang ini macam-macam taktik yang digunakan untuk menipu!

Jadi sentiasa kena berwaspada...was-was atas segala perkara....


******************************************************************

Semalam saya dan Nabila keluar untuk makan tengahari di Plaza Masalam.

Semasa menunggu lampu isyarat hijau di depan Unisel tiba-tiba cermin tingkap sebelah Nabila diketuk orang. Kami yang terkejut terus memandang ke arah tersebut. Seorang makcik agak berumur sedang mengetuk-ngetuk tingkap kereta saya sambil bercakap dan menunjuk ke satu arah.

Tangan saya spontan meraba-raba kunci pintu untuk pastikan saya telah kunci semua pintu.

Saya dan Nabila hanya menggeleng-geleng kepada makcik walaupun dia beria-ia bercakap.

Saya sangat berdebar-debar dan saya percaya Nabila pun sama.

Mungkin dia perasan kami tidak layan dia, dia pun berjalan ke arah penunggang motor yang sedang berhenti di depan kereta saya. Penunggang motor itu kemudiannya menunjukkan ke satu arah.

Pada waktu itu Nabila terperasan yang ada kereta Viva putih di lane sebelah, pintu pemandunya terbuka dan ada seorang makcik sedang menunggu dengan bimbang di kerusi sebelah pemandu. Dan pada masa itu juga makcik tadi berjalan ke arah kereta itu.

"Sensei tengok tu" kata Nabila.

Pada waktu itu baru saya perasan apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Semasa makcik berjalan ke arah keretanya, saya cepat-cepat turunkan tingkap di sebelah Nabila dan menjerit kepada makcik

"makcik! makcik! kenapa makcik?"

Makcik yang terdengar suara saya datang semula ke arah kereta kami.

"makcik nak pergi KL ni! jalan depan ni pegi kiri boleh?" katanya dengan riak yang penuh bimbang.

"kiri tak boleh makcik, tapi kanan boleh..makcik terus aje ke depan"

Sambil angguk-angguk dengan muka risau, dia kembali ke keretanya....dan lampu pun hijau...saya nampak makcik pun bergerak dan sekali-sekala tengok kereta makcik sehingga tidak nampak lagi...

******************************************************************

Tuhan sahaja yang tahu betapa saya rasa sangat bersalah.

Makcik rupanya keluar dari kereta sendiri di tengah jalan semata-matanya untuk bertanya arah jalan.

Tapi ketukan tiba-tiba di tengah jalan...memang membuatkan kami tergamam dan takut....

Ya, takut....

Sebab sekarang ini orang jahat boleh menyamar jadi macam-macam...

Malah ada orang yang minta sedekah semasa lampu merah...

Ketakutan telah menguasai kami pada masa itu...

Tetapi setelah tahu keadaan sebenar, saya terus terfikir, macammana kalau makcik tadi mak saya?

Mak bawak kereta di kawasan yang dia tidak biasa lepas itu jadi sangat risau tersalah jalan dan buat keputusan drastik keluar dari kereta dan mengetuk tingkap kereta orang...

Macammana kalau orang itu tidak layan mak?

Oh, sangat sedih...

Pada kejadian hari ini, saya dapat mengubat sedikit rasa bersalah kerana sempat buka tingkap dan menegur makcik. Nasib baik Nabila perasan kereta sebelah itu.

Kalau tidak, tentu makcik tu akan rasa sedih.."sombongnya orang kereta tadi, tingkap pun tak nak buka!"

Saya harap saya lebih tenang di masa akan datang supaya sempat berfikir baik dan buruk.

Orang yang jujur minta pertolongan haruslah dibantu jika mampu.

Tetapi minta dijauhkan dari berjumpa orang yang pura-pura, orang yang berniat jahat...




Sunday, December 16, 2012

As I Was Passing

0 comments
Adibah Amin, 2007

Buku ke-25 untuk tahun ini. Akhirnya pada tahun ini juga saya dapat mencapai matlamat 25 buah buku setahun!!! 

Alhamdulillah kerana diberi rezeki olehNya untuk membeli buku, diberi masa untuk diluang membaca buku, diberi mata dan otak yang masih sihat (walau mata semakin rabun...hehe) untuk saya menikmati hobi masa lapang.

************************************************

Buku ini sebenarnya saya beli 2 tahun lepas. Dulu pernah baca beberapa helai tetapi terhenti. Ia bukanlah sebuah novel tetapi kumpulan artikel-artikel penulis semasa dia menulis untuk NST pada tahun 1970an dulu.

Disebabkan itu isi kandungan adalah berkisar kepada kehidupan zaman 70-an ke bawah sehingga zaman kanak-kanaknya. Bila baca kisah penulis semasa kecil pada zaman penjajahan Jepun, saya terfikir yang penulis mesti baya-baya ibu saya. (Selepas gugel, saya dapat tahu yang dia rupanya lebih tua 2 tahun dari arwah ayah saya) Dan dari gugel juga saya dapat tahu yang penulis adalah anak seorang tokoh pendidik dan politik terkenal suatu masa dahulu yang dikenali sebagai Ibu Zain.

Penulis bertuah kerana mempunyai ibu yang mementingkan pendidikan pada zaman tidak ramai kaum wanita melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi pada masa itu. Sebab itulah beliau pandai berbahasa Inggeris selain dari pernah menjawat jawatan pengetua di sekolah dan pensyarah sekitar 70-an. Oh ye, kalau ada yang pernah menonton cerita Adik Manja (1979) tentu ingat akan watak cikgu garang, Cikgu Bedah yang dilakonkan oleh Adibah Amin. Saya sendiri ingat-ingat lupa sebab masih kecil pada waktu itu, tapi cerita itu memang terkenal pada masa itu.

Saya sepatutnya menulis tentang buku yang dibaca sebaliknya buku ini membuatkan saya tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang penulisnya. Dari internet saya dapat tahu tentang penulis dan seterusnya tentang ibunya! Buku ini memperkenalkan saya kepada tokoh akademik wanita di zaman dahulu. Mungkin ini adalah kebaikan membaca secara tidak lansung.

Sedikit mengenai isi kandungan, saya teringat kisah penulis tentang jalan sesak di Kuala Lumpur. Kalau keluar sebelum waktu pejabat, akan sesak disebabkan semua orang hendak ke pejabat. Sebaliknya jika keluar lebih awal, jalan sesak disebabkan pelajar pergi ke sekolah. Begitu juga pada waktu pulang dari kerja- oh, pada tahun 60-an juga jalan sudah sesak di Kuala Lumpur! kelakar pula bila fikirkan pasal ini. Rupanya masalah kesesakan ini telah wujud sejak...50 tahun dulu? hehe.

Penulis ada juga menyelitkan pantun-pantun lama yang membuatkan saya tersenyum semasa membaca. Dan yang bagusnya, semua pantun diberi terjemahan kepada Bahasa Inggeris. Contoh kisah orang kedekut di kampung ada diselitkan pantun nyanyian kanak-kanak pada masa itu;

Haji Kedekut bangun malam, (Haji Kedekut gets up at night)
Kira duit diam-diam; (To count his money on the quiet)
Makan nasi lauk garam, (He eats his rice with only salt)
Tidur lantai tak ada tilam. (He sleeps on the floor without a mattress)


Cerita tentang ejek-mengejek dengan budak lelaki bangsa Cina semasa kecil;

"Cina makan babi!"
"Malai makan malaican!"


Juga cerita tentang perkataan "standard". Kalau rumah orang lain ada radio transistor, mesin jahit, motor dan tv tapi rumah kita tak ada barang-barang tersebut, kita dikatakan "tidak standard". Ataupun pemuda-pemudi yang pergi kerja di bandar dikatakan "ada standard" berbanding yang tinggal kerja di kampung. Saya tergelak juga baca bahagian ini sebab selalu juga dengar orang sebut "tak standard lah kalau tak...."

*************************************************************

Walaupun ada kisah yang tidak dapat saya fahami kerana saya bukan orang zaman tersebut, namun ada juga kisah yang membuatkan saya tertawa kecil atau tergelak besar sendiri. Kisah yang membuatkan saya terkenang zaman kanak-kanak dan remaja.
Kalaulah saya boleh menulis seperti beliau.......


★★★
Buku ke 25, 2012. 




Thursday, December 6, 2012

Satu kilometer

6 comments
Bila agaknya boleh habiskan larian satu kilometer tanpa berhenti.

Nak habiskan satu pusingan kolam di taman (ada dalam 600 meter) pun sibuk kepala otak memotivasi diri sendiri.

Atau cuba fikir-fikir perkara lain yang boleh melupakan kaki ku yang sedang menghentak dengan beratnya.

Tetapi bukan kaki yang ingin mengalah.

 Otak yang jahat menggoda.

Bila otak sudah berjaya maka kaki dengan otomatiknya bertindak balas.

Kenapa biarkan otak mempengaruhi.

"lari sampai depan tu aje cukup. Boleh berhenti dah. Penat ni."

Kenapa biar otak mempengaruhi.

Sebab bila kata-kata itu sudah berjaya mengawal.

Walau kaki masih boleh ke depan.

Tetapi terhenti juga kerana terpedaya.

Mudahnya diri terpedaya.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template